Adly (tengah) mendengar penerangan daripada Dr Nur Mohammad Hadi mengenai pembinaan Kompleks Akademi Al-Bayan di Kampung Pegoh, Alor Gajah, Melaka hari ini.

ALOR GAJAH – Kementerian Pertahanan (Mindef) sedang memperincikan bilangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diperlukan sebagai jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 yang bakal diadakan semula tidak lama lagi.

Timbalan Menterinya Adly Zahari berkata, pelbagai aspek sedang diperhalusi termasuk menentukan kriteria veteran ATM yang layak sekali gus menjadi peluang kerjaya kedua kepada golongan itu.

“Itu memang (pengambilan veteran ATM menjadi jurulatih) salah satu daripada awal yang kita bincangkan, cuma bilangannya berapa sedang dikemas kini.

“Jumlah veteran yang terlibat belum kita putuskan (dan) kita sedang lihat struktur kita dan keperluan guna tenaga veteran yang bersesuaian dengan PLKN,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan Kompleks Akademi Al-Bayan di Kampung Pegoh di sini. Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Akademi Al-Bayan Dr Nur Mohammad Hadi Zahalan.

Adly yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah berkata,
ada dalam kalangan veteran ATM merupakan jurulatih ketenteraan dan kerajaan turut akan berikan sedikit latihan kepada veteran lain supaya mereka juga boleh menjadi sebahagian daripada jurulatih PLKN.

“Itu (latihan PLKN) menjadi tanggungjawab anggota pertahanan kita…sebab itu sistem pertahanan negara di bawah pentadbiran kerajaan perpaduan sentiasa mengutamakan golongan veteran ATM.

“Malah kita telah menetapkan kuota khusus untuk memelihara kebajikan warga itu di setiap kementerian,” katanya.

Semalam, Ahli Majlis Veteran Kebangsaan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pengalaman dan kepakaran dimiliki veteran ATM boleh dikongsi bagi membantu kelancaran program PKLN 3.0.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Kewangan berkata, cadangan melantik jurulatih PKLN dalam kalangan veteran ATM boleh membantu kelancaran PLKN mengikut pengalaman dimiliki oleh golongan tersebut ketika ini. – MalaysiaGazette