Pengerusi Lembaga pengarah UMPSA, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (kiri) dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KUANTAN – Semua universiti awam disaran mula bersedia untuk mengemukakan permohonan bagi menerima peruntukan seperti yang diumum Perdana Menteri dalam Belanjawan 2024 baru-baru ini.

Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pihaknya perlu membuat tapisan teliti agar peruntukan yang diagih mendapat pulangan yang bermanfaat dan berimpak.

“Saya percaya dengan peruntukan itu dapat memastikan sektor pendidikan tinggi akan dapat terus memainkan peranan utamanya untuk menjayakan pembangunan, kemajuan dan kesejahteraan untuk rakyat dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) dan Ekspokenvensyen UMPSA di sini hari ini.

Sebagai rekod, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pembentangan Belanjawan 2024 baru-baru ini mengumumkan peningkatan peruntukan kepada RM16.3 bilion kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sebagai sokongan kerajaan terhadap transformasi pengajian tinggi negara.

“Melalui peruntukan itu, kita akan meningkatkan usaha-usaha kita untuk membangunkan bakat terbaik untuk negara dan meningkatkan lagi penyelidikan dan inovasi.

“Selain itu juga memastikan pemindahan ilmu pengetahuan melalui usaha merakyatkan ilmu dan tak lupa pengantarabangsaan pendidikan tinggi,” jelas Mohamed lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik pelaksanaan had yuran pendaftaran masuk ke universiti awam bermula Januari 2024 tidak melebihi RM1,500.

Katanya, para pelajar memasuki semester kedua, ketiga dan seterusnya juga boleh mendaftar dahulu jika tiada duit untuk membayar yuran kemasukan belajar.

“Kalau lihat institusi pendidikan tinggi swasta, kena bayar dahulu baru boleh masuk belajar. Atas sebab itulah, kerajaan ingin memastikan universiti awam tidak mengikut amalan yang dilakukan mana-mana universiti di tempat lain terutamanya universiti swasta,” katanya. – MalaysiaGazette