KUALA LUMPUR – Ketiadaan Elly Mazlein sebagai pengacara bersama dalam All Stars Gegar Vaganza (ASGV) menyebabkan program realiti hiburan itu telah hilang seri malam tadi.
Pendapat itu diakui oleh penaja utama ASGV iaitu Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal.
Beliau yang sudah lima musim menaja program itu turut meluahkan rasa tidak menarik dengan ketiadaan kelibat Elly atau lebih mesra dengan sapaan Kak Lina Pom Pom apabila hanya Nabil Ahmad dan Jihan Muse muncul di pentas.
“Memang tidak best bila Kak Lina tidak ada malam tadi. Apa yang dia buat itu semata-mata content dan dia buat untuk menghiburkan penonton.
“Semestinya dia hendak buat yang terbaik dan sepanjang perkenalan saya dengan dia, Kak Lina usaha kuat setiap kali dapat tugas. Mengada-ngada itu profil yang dicipta hanya hiburan,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Azmi turut menambah, penonton mempunyai pilihan untuk menyukai mana-mana hos dalam setiap program televisyen.
“Tapi hendak buat macamana kerana Kak Lina sudah buat keputusan. Dalam Astro pun macam-macam politik,” katanya berterus-terang.
Rabu lalu, Elly Mazlein mengumumkan dia menarik diri sebagai hos ASGV atas faktor peribadi.
Namun rata-rata netizen meluahkan rasa sunyi dengan ketiadaan kelibat Elly yang terkenal dengan karektor kecoh dan gila-gila di atas pentas.
Semasa pembukaan program realiti itu, rakan pengacara Nabil dan Jihan turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Elly yang telah bersama selama tiga minggu.
“Terima kasih kepada Kak Kepom yang ada selama tiga minggu dengan kami,” kata mereka semasa siaran langsung ASGV
Bagaimanapun terdapat juga netizen berpandangan Nabil dan Jihan merupakan gandingan yang sesuai kerana tiga hos menyebabkan program itu menjadi kelam kabut. – MalaysiaGazette