PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan agar anggota keluarga kakitangan Kedutaan Besar Malaysia di Beirut, Lubnan kembali ke Malaysia sehingga keadaan keselamatan membenarkan, berikutan kawasan selatan negara itu turut diserang Israel.

Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata, keputusan itu adalah langkah proaktif kerajaan bagi memastikan keselamatan semua rakyat Malaysia menjadi keutamaan negara.

“Bagaimanapun, Kedutaan Besar Malaysia akan terus beroperasi seperti biasa,” kata Wisma Putra dalam kenyataan pada Isnin.

Wisma Putra turut menyarankan agar warga Malaysia disaran  menangguhkan perjalanan yang tidak penting (non-essential travel) ke Lubnan.

Kerajaan juga mengarahkan pihak kedutaan untuk mengambil langkah berjaga-jaga dan memantau keadaan rakyat Malaysia di negara itu, termasuk pasukan pengaman Angkatan Tentera Malaysia – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (ATM-PBB) iaitu MALBATT yang berkhidmat di bawah Pasukan Interim PBB di Lubnan (UNIFIL).

“Kedutaan Besar Malaysia di Beirut telah berhubung rapat dengan 12 warga Malaysia serta keluarga yang kini bermastautin di Lubnan,” menurut kenyataan itu.

Rakyat Malaysia yang memerlukan sebarang bantuan konsular dan mempunyai pertanyaaan boleh berhubung dengan pihak kedutaan di talian +961 (1)1970207 (pejabat) atau +961-71380063 (bimbit) atau email [email protected].

Menurut laporan media, kawasan selatan Lubnan turut menjadi sasaran bedilan roket Israel susulan konflik dengan Palestin sejak 7 Oktober lepas.

Pada Jumaat, wartawan Reuters, Issam Abdullah terkorban dalam serangan Israel ketika sedang bertugas berhampiran sempadan Lubnan-Israel.

Serangan itu turut mencederakan enam yang lain termasuk wartawan AFP dan Al Jazeera. – Bernama