UTMSPACE memeterai kerjasama menerusi perjanjian persefahahaman (MoU) dengan Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT). Foto:Johor Southern Tigers

JOHOR BAHRU – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui UTMSPACE mewujudkan program akademik baharu iaitu Diploma Sukan dan Kecergasan yang bermula akhir tahun ini.

Bersempena pembangunan program akademik itu, UTMSPACE memeterai kerjasama menerusi perjanjian persefahahaman (MoU) dengan Kelab bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT).

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan UTMSPACE, Prof Dr. Nazri Ali berkata, pemeteraian itu merintis peluang bagi UTM dalam menjalin usahasama bersama industri sukan negara dalam meningkatkan taraf pendidikan ahli sukan tanahair.

Katanya, Diploma Sukan dan Kecergasan itu dibangunkan bertujuan untuk menyediakan laluan akademik melanjutkan pengajian dalam bidang sukan dan kecergasan kepada masyarakat khususnya atlet sukan.

“Program Diploma Sukan dan Kecergasan yang dibangunkan ini merupakan manifestasi kepada hasrat pihak pengurusan JDT yang amat prihatin terhadap masa depan dan hala tuju para pelatih yang sedang menjalani latihan di Akademik JDT.

“Seramai 27 orang pelatih yang berusia 18 tahun ke atas dijangka bakal mendaftar sebagai pelajar UTM bagi mengikuti program ini secara sepenuh masa,” katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani MoU antara UTMSPACE dan JDT menerusi kenyataan media hari ini.- MalaysiaGazette