Mohd Shuhaily Mohd Zain

KUALA LUMPUR – Polis hari ini mengesahkan tangkapan seorang lelaki warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes penerbitan buku bertajuk Rebirth: Reformasi, Resistance and Hope in New Malaysia yang dikatakan berunsur menghina Jata Negara pada tahun 2020.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek berumur 58 tahun itu yang dipercayai menetap di Sydney, Australia dan telah ditangkap di Pejabat Imigresen Kelana Jaya, Selangor semasa berurusan untuk memohon memperbaharui pasport pada 16 Oktober lalu.

“Suspek bagaimanapun telah dibebaskan oleh polis hari ini setelah tamat tempoh reman yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohd Shuhaily, kes berkenaan sedang disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5), JSJ Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 8(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian perkhidmatan rangkaian.

“Siasatan masih dijalankan oleh USJT dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan polis.

“Polis turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutamanya melibatkan aspek keselamatan serta kedaulatan negara,” tegasnya.

Terdahulu, suspek bernama Kean Wong  dibenarkan direman selama sehari sehingga esok di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membantu siasatan lanjut polis dalam kes tersebut.

Peguamnya, Ivan Teng yang hadir ke IPD Dang Wangi mengesahkan perkara itu kepada pemberita tengahari tadi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast