KUALA LUMPUR – Firma guaman, Rosli Dahlan Saravana (RDS) telah menulis kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi memohon kebenaran syarikat dana strategik negara itu untuk memberikan persetujuan menyerahkan beberapa dokumen sulit kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Difahamkan dokumen-dokumen sulit itu berkaitan perjanjian penyelesaian antara Goldman Sachs dan kerajaan yang dianggarkan bernilai AS$6.5 bilion.
RDS telah mendedahkan perkara itu dalam afidavit balas 16 Oktober lalu selepas SPRM bertindak memfailkan saman yang sebelum ini telah memohon dokumen-dokumen berkenaan daripada firma guaman itu.
Ketika ini, SPRM sedang menjalankan siasatan terhadap dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan penyelesaian dimeterai antara kerajaan dengan Goldman Sachs berhubung 1MDB.
Rakan kongsi firma berkenaan, Datuk Palpanaban Devarajoo berkata, pihaknya telah menulis kepada 1MDB untuk memohon persetujuan terlebih dahulu yang merupakan dokumen sulit dan rahsia.
Semalam media melaporkan SPRM telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi ‘memaksa’ RDS dan sebuah lagi firma guaman menyerahkan beberapa dokumen berkait siasatan penyelesaian antara Goldman Sachs itu.
Satu lagi firma yang dimaksudkan itu ialah Chetan Jethwani & Company yang mana sebutan kesnya semalam di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Jamil Hussin manakala hari ini bagi RDS di hadapan Hakim Datuk K Muniandy.
Sebelum ini juga, peguam mewakili firma Chetan telah mendakwa tindakan SPRM itu berniat jahat dan tidak adil ketika adanya pertikaian antara Goldman Sachs dan kerajaan ketika ini.
RDS yang sedang mewakili Tan Sri Muhyiddin Yassin minggu lepas mengesahkan SPRM tidak dapat mengakses sebarang dokumen sulit berkaitan anak guamnya.
Katanya dalam kenyataan, seramai 12 pegawai SPRM hadir ke firma mereka dan mendesak mahu menggeledah pejabat selain akses kepada dokumen sulit.
Bagaimanapun, pihaknya telah memaklumkan bahawa perkara tersebut tidak boleh dilakukan dibawah Sesyen 46 SPRM.
“Kami beritahu pegawai SPRM itu mengenai kedudukan firma guaman di sisi undang-undang di mana dokumen anak guam adalah sulit dan tidak boleh dirampas oleh SPRM menurut Seksyen 46 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia,” katanya.
Seksyen 46(2) menyatakan bahawa seorang peguam tidak diwajibkan untuk menyerahkan dokumen jika ia sulit dan untuk digunakan dalam prosiding yang sedang berlangsung.
Difahamkan satu sumber mendakwa, tindakan SPRM itu bukannya serbuan tetapi lawatan susulan sebahagian daripada siasatan yang sedang dijalankan ketika ini.
Untuk makluman Rosli merupakan peguam utama dalam kes saman fitnah yang difailkan Muhyiddin terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan kenyataannya berhubung pelupusan hutang peneroka Felda.
Rosli juga merupakan bekas peguam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menyeleweng RM2.3 bilion ketika ini di Mahkamah Tinggi KL. -MalaysiaGazette