ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid

KUALA LUMPUR – Seramai enam individu dipanggil oleh polis setakat ini untuk membantu siasatan kes kematian seorang bayi perempuan berusia dua bulan di sebuah Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di Seksyen 6, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 10 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, ibu bapa kepada bayi malang itu merupakan antara enam individu yang dipanggil sebagai saksi membantu siasatan.

“Selain itu, pengurus Taska juga telah dipanggil dan selesai dirakam percakapan untuk membantu siasatan lanjut.

“Kesemua individu itu memberi kerjasama baik kepada pegawai penyiasat dan siasatan masih diteruskan dalam kes ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohamad Fakhrudin, dalam perkembangan sama, polis masih menunggu laporan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian bayi tersebut.

“Ia penting sebelum polis melengkapkan siasatan kami untuk diangkat kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut nanti.

Terdahulu, dalam satu kenyataan minggu lalu, Mohamad Fakhrudin mengesahkan penahanan seorang pengasuh wanita bagi membantu siasatan kerana disyaki mendera sehingga menyebabkan kematian seorang bayi perempuanĀ  di sebuah taska di Kota Damansara 10 Oktober lalu.

Katanya, wanita warga asing berusia 40-an ditahan itu berkahwin dengan warga tempatan kemudian dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai dirakam keterangan.

Kes sedang disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana membabitkan penganiayaan, pengabaian dan pembuangan atau pendedahan kanak-kanak.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai memberikan ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

Sementara itu, ibu mangsa menerusi sebuah video di Instagramnya @asharosli mendedahkan rakaman televisyen litar tertutup keadaan anaknya sebelum didapati meninggal dunia dipercayai kecuaian pengasuh.- MalaysiaGazette