Usanita Sdn. Bhd. buat julung kalinya menjalinkan kolaborasi bersama Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP).

KUALA LUMPUR – Usanita Sdn. Bhd. buat julung kalinya menjalinkan kolaborasi bersama Persatuan Keluarga Polis Malaysia (PERKEP) dengan matlamat bersama mengangkat isu wanita di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita, Datuk Adzliana Hasan berkata, walaupun pihaknya sering dikaitkan dengan program berbentuk keusahawanan namun mereka mahu melebarkan sayap dengan perkongsian tentang kesihatan mental dan menjaga kebajikan para wanita.

Jalinan usahasama di bawah payung PERKEP itu diyakini dapat mengejar misi dan visi sama membantu wanita membina keyakinan dan saling memberi sokongan antara satu sama lain bagi mencapai kesejahteraan hidup.

“Kolaborasi ini akan menjadi satu penanda aras yang baru buat Usanita untuk sentiasa berikan yang terbaik dalam semua program yang dijalankan dan memastikan objektif yang dirancang akan dicapai dengan jayanya.

“Saya percaya gabungan ini juga akan menjadi inspirasi pada ramai kaum wanita di Malaysia bukan sahaja di kalangan ahli PERKEP bahkan juga oleh lain-lain gabungan dan individu-individu secara keseluruhannya.

“Saya melihat Pengerusi PERKEP, Puan Sri Zainah Othman selaku sebagai Iron Lady kerana tanggungjawab yang digalas oleh beliau amat besar,” katanya pada Majlis HiTea PERKEP Malaysia X Usanita di sini baru-baru ini.

Majlis yang dihadiri seramai 200 ahli PERKEP Malaysia dan Usanita menampilkan juga rakan strategik mereka iaitu selebriti seperti Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari dan. Zoey Rahman.

Kerjasama PERKEP Malaysia dan Usanita turut menampilkan j rakan strategik mereka iaitu selebriti tanah air.

Sementara itu, Zainah melihat pelbagai liku dan rintangan yang sering dihadapi oleh wanita terutama oleh isteri pegawai dan anggota polis dan terpanggil untuk membantu mereka untuk bangkit dan menjadi wanita yang hebat.

Pada pandangannya, wanita merupakan insan yang kuat dan bersemangat kental dan mereka ini hanya perlukan sedikit suntikan kesedaran untuk mereka terus maju.

Menurutnya, wanita para isteri anggota dan pegawai polis adalah tulang belakang keluarga yang akan mendidik anak-anak dan membentuk keluarga iaitu selaras dengan slogan PERKEP iaitu Keluarga Bahagia Pasukan Sejahtera.

“Saya percaya dengan adanya kepakaran dan pengalaman daripada Datuk Adzliana sebagai pemain industri pasti akan memeriahkan lagi pelbagai aktiviti yang akan dirangka bersama Usanita selepas ini.

“Aktiviti selepas ini akan lebih dekat dengan semua wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan dan menjana ekonomi keluarga.” Katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast