Pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP, Rosli bin Omar bergambar bersama mokcek setelah dinobatkan sebagai jutawan BSN SSP Bulan September 2023 di Bangi, Selangor. Foto QURRATU AINI, 18 OKTOBER 2023.

BANGI – Seorang guru Bahasa Melayu kini bergelar jutawan selepas memenangi Cabutan Istimewa Bank Simpanan Nasional (BSN), Sijil Simpanan Premium (BSN SSP) ke-92, hari ini.

Rosli Omar yang telah berkhidmatan sebagai guru lebih 30 tahun berkata, dia tidak menyangka akan memenangi RM1 juta hasil usahanya menyimpan secara konsisten dalam BSN SSP sejak 2009.

Katanya, peribasaha ‘berakit-rakitlah ke hulu, berenang-renang di tepian; bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian’ menjadi tuah beliau memiliki wang tunai yang akan digunakan untuk menunaikan haji bersama isteri.

“Saya mula menabung SSP dengan simpanan serendah RM200 kemudian naik ke RM500. Mungkin juga keberkatan orang berikan duit pada saya dari anak-anak dan sesiapa yang sumbang saya akan simpan.

“Tentunya saya mahu pergi haji, umrah saya sudah pergi tahun 2016. Kalau nak ikut giliran memang lambat lagi. Alhamdulilah rezeki yang ada hari ini dapat saya pergi dengan cepat bersama isteri saya.

“Kalau pergi dengan TH atau cara pintas pun perlu RM30,000. Kalau nak elok sedikit mungkin lebih RM50,000 untuk satu orang. Syukur Allah bagi jalan memudahkan saya ke sana, Insyallah,” katanya yang berasal dari Perak.

Rosli berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Modul Celik Kewangan KPM-BSN Sekolah untuk Sekolah Rendah Dan Sekolah Menengah, di pusat membeli belah Evo Mall, di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Ketua Pegawai Perniagaan BSN, Mujibburrahman Abd Rashid.

Pemenang Cabutan Jutawan BSN SSP, Rosli bin Omar bergambar bersama mokcek setelah dinobatkan sebagai jutawan BSN SSP Bulan September 2023 di Bangi, Selangor.

Ditanya mengapa memilih membuat simpanan dalam BSN SSP, Rosli yang mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu Bagan Serai berkata, dia berminat dengan hadiah lumayan yang ditawarkan dan juga tawaran dividen yang agak tinggi kepada penyimpan.

“Saya berminat tengok orang dapat rumah banglo, kereta mewah, wang tunai, jadi saya rasa ini peluang yang tidak rugi untuk lakukan simpanan kita, diitambah pula kadar dividen ditawarkan.

“Kalau kita tidak merancang, umpama kita mengail tanpa umpan, jadi kita perlu merancang lebih awal dari segi kewangan, perlu ada dua sasaran iaitu jangka panjang seperti inilah untuk 10 tahun akan datang.

“Kalau untuk jangka pendek mungkin macam berniaga kecil-kecilan dan ada simpanan sedikit tapi saya kagum dengan simpanan di SSP sebab hadiah ditawarkan makin bertambah buat saya lagi seronok, ” ujarnya.

Pada 2023, BSN mempertingkatkan jumlah hadiah BSN SSP kepada RM27 juta untuk lebih 18,000 pemenang dan sehingga September lalu, seramai 92 orang jutawan BSN SSP telah dilahirkan.

BSN juga memperkenalkan empat kategori hadiah baharu bagi memberi lebih banyak peluang kepada para penyimpan memenangi pelbagai hadiah.

Antara kategori baharu ditawarkan adalah Cabutan Guru, cabutan Akaun Gaji, Cabutan Kasih dan Cabutan Konsisten. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast