Suspek dicekup orang awam selepas menyamun kedai emas di Kota Tinggi kelmarin.

KOTA TINGGI – Nasib seorang lelaki ingin menyamun kedai emas tidak bernasib baik apabila  dicekup oleh orang awam di bangunan Plaza Kota Tinggi di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata, ketika kejadian kelmarin, suspek pada mulanya berpura-pura ingin membeli emas.

Bagaimanapun selepas membawa lari dua utas rantai, orang awam yang menyedarinya sempat menangkapnya.

Polis telah menerima laporan kejadian itu pada pukul 7.16 malam dan ia berlaku di sebuah kedai perniagaan menjual dan membeli barang kemas di dalam bangunan Plaza Kota Tinggi kira-kira pukul 6 petang.

“Bagaimanapun dia telah berjaya ditangkap oleh orang awam dihadapan Pasaraya Kwa Tai dan berjaya menemukan semula barang kemas yang dicuri sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Lelaki berkenaan merupakan penduduk tempatan berumur 27 tahun itu bagaimanapun telah dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi semalam dan dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh mahkamah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (Curi Dalam Bangunan).

Terdahulu, tular rakaman orang awam menangkap seorang peragut yang mencuri rantai emas di Kota Tinggi.-MalaysiaGazette