Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA – Perikatan Nasional (PN) perlu mengemukakan bukti selepas mendakwa Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid diugut untuk menyokong kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar berkata, sekiranya laporan dibuat ke atas dakwaan itu, siasatan perlu dilakukan pihak berkuasa.

Namun Anwar menjelaskan, sehingga kini beliau sendiri tidak pernah bertemu dan menghubungi malah jauh sekali menghantar wakil berurusan dengan Ahli Parlimen PN daripada Bersatu itu.

“Kalau beliau (Hamzah) ada bukti, beliau kena bawa, tetapi apa lagi beliau hendak kata. Yang saya tahu saya belum jumpa, belum hubungi dan hantar wakil. Tak tahu siapa yang ugut.

“Kalau ada bukti beliau (Hamzah) kena keluarkan. Jangan pakai bebal. Beliau patut bawa laporan. Kalau ada laporan, patut ada siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Simposium ‘The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia’ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mengatakan Iskandar Dzulkarnain diugut atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media yang disediakan lebih awal menyokong kerajaan.

Hamzah mendakwa, pada 1 Oktober lalu, wakil rakyat itu dipercayai dibawa bertemu dengan seorang pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sebuah hotel di Damansara dan diugut akan didakwa atas kesalahan rasuah sekiranya enggan menandatangani kenyataan media berkenaan.

Malah sebelum itu pada 26 September lalu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar berkenaan juga didatangi seorang taikun perniagaan bergelar Tan Sri yang dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan Perdana Menteri di sebuah lokasi sekitar Damansara.

Menurut Hamzah, malah ketika pertemuan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu juga kelihatan amat tertekan akibat intimidasi yang dikenakan terhadap beliau.

Justeru itu, beliau menegaskan PN mengutuk keras tindakan Kerajaan Madani yang berterusan menyalahgunakan kuasa bagi melakukan intimidasi serta ugutan terhadap pemimpin pembangkang.

Mengulas lanjut, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada Iskandar Dzulkarnain yang membuat kenyataan menyokong kepemimpinannya.

“Saya belum menghubungi beliau dan telefon untuk jumpa, lihat kepada kenyataan saya ucap terima kasih beliau beri sokongan. Soal beliau hendak kekal dengan PN , itu keputusan beliau.

“Tapi saya fikir bila orang lihat yang kita lakukan atas dasar ekonomi dan merakyatkan, ia satu hubungan yang baik,” katanya.

Pada 12 Oktober lalu, Iskandar Dzulkarnain memutuskan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan serta-merta.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas meneliti rintihan berterusan pengundi dan menitikberatkan keperluan mendesak untuk menangani masalah krisis kenaikan kos sara hidup yang melanda kawasannya. – MalaysiaGazette