Adnan Mat
Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Arahan kawalan perbelanjaan awam yang dikeluarkan kerajaan bukan sesuatu yang baharu memandangkan garis panduan mengenai perkara tersebut telah dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan tahun lalu.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Dr Adnan Mat berkata, arahan tersebut tidak menjadi masalah kepada penjawat awam.

Menurut beliau, garis panduan tersebut dengan jelas meminta semua kementerian dan jabatan kerajaan melaksanakan langkah-langkah mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan.

“Justeru, arahan yang dikeluarkan hari ini hanyalah bersifat peringatan daripada semasa ke semasa agar ia sentiasa dipatuhi dan dipraktis dengan baik oleh seluruh warga perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, kerajaan mengeluarkan arahan baharu kawalan perbelanjaan awam oleh semua kementerian, jabatan dan agensinya, sebagai usaha penjimatan serta mengelak pembaziran sumber kewangan awam.

Arahan itu menggariskan antara langkah bagi memastikan perbelanjaan secara optimum ialah penganjuran acara, majlis, keraian rasmi kerajaan, mesyuarat, persidangan, seminar serta bengkel dihadkan kepada program benar-benar perlu saja dan disaran diadakan di premis atau pusat/institusi latihan awam (ILA).

Adnan memberitahu, seperti yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, soal penjimatan dan pembaziran tidak seharusnya diberikan tumpuan kepada konteks yang besar sahaja sehingga meninggalkan hal-hal kecil yang menjadi rutin harian seperti penggunaan tenaga elektrik atau peralatan pejabat.

Beliau menambah, CUEPACS menyeru kepada semua warga perkhidmatan awam terutamanya ketua-ketua jabatan agar sentiasa mematuhi arahan kawalan perbelanjaan yang telah dikeluarkan kerajaan.

“Peringatan secara berkala melalui perhimpunan bulanan dapat membantu supaya ia menjadi amalan biasa yang diamalkan oleh penjawat awam,” jelasnya.

Adnan berkata, CUEPACS melalui gabungan kesatuan sekerja akan sentiasa menyalurkan setiap aspirasi kerajaan termasuk dalam isu penjimatan dana awam melalui aktiviti-aktiviti bersama penjawat awam yang dilaksanakan secara berkala. – MalaysiaGazette