Gambar hiasan.

BUKIT MERTAJAM – Empat lelaki yang dipercayai menyamar sebagai kontraktor Telekom Malaysia (TM)  dengan berpakaian syarikat telekomunikasi itu dikesan sedang memotong kabel talian atas di Jalan Kampung Paya, Berapit, di sini, semalam.

Kejadian curi kabel milik syarikat telekomunikasi itu turut tular di media sosial selepas dua video berdurasi 20 dan 14 saat dimuat baik oleh seorang pemilik akaun X hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Tan Cheng San berkata, berdasarkan siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku kira-kira 12.30 tengah hari semalam dan ia disedari seorang juruteknik TM selepas ternampak empat lelaki tersebut dalam keadaan mencurigakan.

“Lelaki itu (juruteknik TM) menghampiri empat lelaki yang sedang memotong kabel talian atas tersebut dan bertanyakan mengenai kerja yang dilakukan mereka sebelum tiba-tiba kesemuanya melarikan diri namun seorang daripadanya berjaya ditahan oleh juruteknik terbabit.

“Suspek lelaki berusia 20-an yang berjaya ditahan itu mempunyai dua rekod lampau berkaitan dadah dan polis kini giat mengesan tiga rakannya untuk membantu siasatan berhubung kejadian tersebut, yang menyebabkan kerugian kabel kira-kira RM5,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah SPT di talian 04-5382222 atau mana-mana balai polis berdekatan bagk membantu siasatan. – Bernama