Tukang kebun sekolah, R Ravinderan, didakwa di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan membunuh pengawal keselamatan di Bandar Seri Botani pada 13 Oktober lalu.

IPOH – Seorang tukang kebun sekolah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh seorang pengawal keselamatan di Bandar Seri Botani, di sini pada Jumaat lalu.

Tertuduh, R Ravinderan, 55, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret S Punitha namun tiada pengakuan direkodkan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Faizal Asri, 43, di dalam pondok pengawal Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (JSJK) Seri Botani Simpang Pulai, Ipoh antara jam 3 petang hingga 8 malam pada 13 Oktober lalu.

Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 10 Januari tahun depan untuk sebutan semula kes serta bagi mendapatkan laporan forensik dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwah Raya, Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh diwakili peguam, Hanifatinnasikha Mod Dimiyati.

Sebelum ini, MalaysiaGazette melaporkan seorang lelaki yang ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bersandar pada dinding pondok pengawal keselamatan sekolah berkenaan.

Mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh petugas ambulans dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini. – MG Perak

BACA SETERUSNYA: