Majlis pernikahan yang mudah antara Sabri Yunus dan Angelina Tan di Perlis minggu lalu mencetus kontroversi.

KUALA LUMPUR – Jabatan Mufti Perlis tidak membenarkan perbuatan atau karenah sesetengah tok kadi atau jurunikah yang kerap ‘membuli’ pasangan pengantin semasa akad nikah  di negeri itu.

Khutbah Jumaat bertajuk Islam Memudahkan Perkahwinan dikeluarkan itu hari ini berkata, antara peruntuh nilai-nilai baik dalam kehidupan manusia adalah apabila dipermudahkan yang haram dan disukarkan yang halal.

Menurutnya, tindakan tok kadi atau jurunikah yang ‘menakutkan’ pengantin sehingga mengulang-ulang lafaz terima ketika akad nikah kononnya belum sah adalah tidak wajar.

“Akad itu digambarkan begitu sulit dan susah sehingga seseorang menjadi terketar-ketar untuk menyebutnya. Diatur ayat lafaz akad itu dengan begitu skema sehingga pengantin kesejukan untuk menghafalnya.

“Padahal akad nikah tujuannya bagi menggambarkan persetujuan kedua-dua belah pihak menjadi suami isteri yang sah. Dengan perkataan nikah, bersama apa sahaja ayat yang membawa maksud kepada mengahwinkan seseorang dengan pasangannya, maka sah ijab dan kabul itu apabila rukun-rukunnya dipenuhi,” katanya.

Khutbah itu menambah, tidak disyaratkan kabul mesti satu nafas atau dua nafas atau berjabat tangan atau menyusun ayat dalam bahasa sanskrit lama.

“Apa yang ingin kita jelaskan betapa proses ijab kabul itu begitu mudah dan senang. Tidak timbul terpaksa berulang-kali seperti dibuat oleh sesetengah pihak yang membuli pengantin.

“Jika jawapan yang diperlukan begitu ringkas dan jelas serta pengantin pun telah melakukannya, mengapa pula ada tok kadi yang sengaja bertanya hadirin perlu ulang ke? Ini adalah permainan buli yang cuba dicampur aduk dengan hukum syarak,” jelasnya.

Tambah khutbah itu, lebih buruk lagi apabila ada jurunikah pada majlis akad nikah cuba menguji pengantin dengan menyuruh membaca itu dan ini.

“Ada yang bertanya rukun Islam, rukun Iman, rukun nikah dan seumpamanya. Padahal jurunikah yang mesti memastikan rukun tersebut dipenuhi, itu tugasannya, bukan bertanya kepada pengantin.

“Ada yang suruh mengucap dua kalimah syahadah, seakan-akan jurunikah ragu-ragu dengan keislaman pengantin. Berbagai lagi tingkah laku jurunikah yang tidak wajar sehingga hari bahagia atau gembira pengantin menjadi hari yang dia dimalukan. Hal ini kita tidak benarkan berlaku di Perlis,” ujarnya.

Tambahnya, pernikahan hendaklah meneladani kemudahan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast