Ketua Pemuda PAS yang baharu, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap pada Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) Kali Ke-64 sempena Muktamar Tahunan Pas ke-69 di IDCC Shah Alam, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 19 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa tidak mengamalkan tata kelola yang baik sebaliknya ia ‘bengkok’ kerana tidak menunaikan apa yang dijanjikan sebelum ini.

Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) baharu, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, ini kerana Kerajaan Perpaduan sekarang didakwanya diterajui oleh pemimpin yang terpalit dengan pelbagai salah laku.

“Kita berhadapan dengan suatu pemerintah yang sedang menunjukkan tata kelola bengkok. Pemuda Pas perlu meluruskan tata kelola supaya mereka mentadbir dalam acuan betul, sepatutnya mengikut apa Allah perintahkan.

“Kita dipersembahkan dengan tata kelola yang bengkok, bercakap lain dan buatnya lain.

“Orang jahat ini, bila bergabung dengan orang jahat malah lebih jahat dari sebelum ini.

“Orang menipu bergabung dengan orang jahat, mereka lebih tipu, lebih jahat dari sebelum ini,” katanya pada sesi penangguhan Muktamar Pas DPPM kali ke-64, di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini malam tadi.

Afnan Hamimi juga berkata, sayap Pas itu nekad untuk ‘merempuh’ apa sahaja kekangan yang diwujudkan pentadbiran Anwar terhadap blok pembangkang.

“Dia kata orang lain boleh, orang lain kata dia tak boleh, orang kata dia koyak, hang kata macam-macam kami boleh, kami balas hang koyak, hang sekat. Hang jaga, Pemuda Pas akan rempuh apa jua halangan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette