Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – UMNO bersetuju melantik Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Ekonomi, Pelaburan dan Kewangan parti untuk menganjurkan Kolokium Pra-Kongres Ekonomi Bumiputera dengan menggembleng kepimpinan parti di semua peringkat di seluruh negara .

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, segala dapatan, maklum balas dan sumbang saran yang diperolehi melalui kolokium ini akan diangkat kepada Kongres Ekonomi Bumiputera yang bakal dianjurkan pada Januari depan.

Jelas beliau, UMNO menyanjung tinggi komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan Malaysia untuk menganjurkan Kongres Ekonomi Bumiputera itu sekaligus membuktikan keseriusan kerajaan untuk terus memperkasakan lagi agenda ekonomi Melayu-Bumiputera.

“UMNO juga ingin merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri terhadap kepercayaan dan keyakinan memberikan amanah besar kepadaTimbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO untuk mempengerusikan Kongres Ekonomi Bumiputera yang amat penting ini.

“Sesungguhnya Kongres Ekonomi Bumiputera merupakan cetusan awal UMNO pada tahun 1965 yang bukan sahaja telah menggagaskan pelbagai strategi dan inisiatif penting menggerakkan agenda Melayu-Bumiputera bahkan melahirkan pelbagai institusi bermakna buat orang Melayu-Bumiputera termasuk MARA, UDA, FELDA, RISDA dan FELCRA.

“Mendepani cabaran zaman untuk tempoh 30 tahun mendatang, pastinya agenda Bumiputera perlu diberikan wajah dan semangat baharu dengan pelbagai perencanaan yang lebih strategik dan berkesan untuk memperkasakan lagi ekonomi Bumiputera sebagaimana termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan,” katanya selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, di sini, malam ini.

Sementara itu, Asyraf Wajid memberitahu, UMNO akan mengaktifkan semula Tabung Muafakat Palestin bagi dihantar sendiri secara terus ke Gaza dan kutipan derma ini akan diuruskan oleh Bendahari UMNO, Datuk Seri Utama Dr. Tengku Adnan Tengku Mansor sebagai tanda komitmen seluruh ahli UMNO bersolidariti dan sejiwa bersama Palestin

“UMNO mengutuk sekeras-kerasnya tindakan ganas dan kejam regim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin yang telah mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa termasuk wanita dan kanak-kanak.

“UMNO mendokong penuh pendirian Kerajaan Malaysia dalam mengutuk tindakan kejam yang tidak berperi-kemanusiaan Regim Zionis dan tidak akan sesekali menormalisasi hubungan diplomatik dengan negara haram penjajah Israel,” katanya dalam satu kenyataan berasingan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast