KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Dunarea de Jos University of Galati (DJUG) Romania.
Kerjasama itu bertujuan untuk memperkukuhkan penerokaan penyelidikan dan aktiviti mobiliti pelajar antara Asia dan Eropah.
Dokumen MoU tersebut ditandatangani oleh Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin bersama dengan Rektor DJUG, Prof Puiu Lucian Georgescu dalam satu majlis di Galati, Romania.
Majlis bersejarah ini juga disaksikan oleh Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (CRIM) UTeM, Prof Ts. Dr. Noreffendy Tamaldin serta Timbalan Rektor DJUG, Prof Elena Mereuta.
Menurut Massila, DJUG merupakan rakan strategik pertama UTeM dari Romania dan hubungan dua hala itu dijangka akan meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan inovasi.
“Bukan itu sahaja malahan memperkasakan aktiviti mobiliti pelajar bersama memandangkan DJUG adalah salah satu universiti di Eropah yang mempunyai pembiayaan Erasmus+ untuk program mobiliti pelajar.
“Sementara itu, jalinan kerjasama ini turut mengangkat imej dan prestij UTeM di peringkat dunia terutama dalam konteks kecemerlangan akademik menerusi pertukaran kursus dalam bidang kejuruteraan, teknologi kejuruteraan, pengurusan teknologi, keusahawanan, dan bidang-bidang lain yang berkaitan,” ujarnya semasa memberikan kenyataan di DJUG, Galati, Romania baru-baru ini.
Beliau berkata, hubungan kerjasama itu bakal memberikan impak kepada pendidikan berkualiti bagi meningkatkan taraf sosioekonomi serta meningkatkan kerjasama global di samping menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4 Pendidikan Berkualiti dan SDG17 Rakan Kerjasama untuk Matlamat. -MalaysiaGazette