KUALA LUMPUR – Kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengenai cadangan menamakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai caloni Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman tidak munasabah dibidas Datuk Ibrahim Ali.
Presiden Parti Putra itu berkata, sekiranya Dr Mahathir sudah tidak munasabah, mengapa Perikatan Nasional (PN) boleh melantik beliau sebagai penasihat kepada State-Government 4 (SG4).
“Keikhlasan bukan sahaja ucapan di bibir mulut sehingga gigi lebih lembut dari lidah tetapi keputusan-keputusan yang boleh mencerminkan nilai hati budi.
“Jika kena dengan kepentingan diri atau parti maka warna putih boleh menjadi hitam. Janganlah kedekut bila kita sudah berharta kerana Allah tidak suka kepada orang yang kedekut.
“Pas sudah mempunyai jumlah ahli Parlimen yang banyak iaitu 43 selepas PRU-15 dan hilang satu kerusi Kemaman. Apakah ruginya jika di beri satu kerusi (Parlimen) Kemaman ini kepada Tun M,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ibrahim merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi di Muktamar Tahunan Pas semalam yang mana berkata tidak munasabah untuk mencalonkan Dr Mahathir bertanding pada PRK Parlimen Kemaman.
.
Dalam pada itu, Ibrahim turut menyenaraikan mengapa Pas perlu memberikan laluan kepada Dr Mahathir bertanding di PRK itu pada 2 Disember depan.
Antaranya, Dr Mahathir mempunyai pengaruh yang kuat di peringkat global, kemampuan bekas Perdana Menteri itu untuk memberikan pandangan serta idea-idea yang bernas serta hubungan global dan diplomasi yang masih kukuh dengan dunia luar.
“Manfaat yang dapat diberikannya kepada Malaysia dalam berbagai aspek menjadikannya calon yang berpotensi memberikan sumbangan yang berharga kepada negara. Keputusan untuk mencalonkannya adalah penting dan perlu dipertimbangkan dengan teliti oleh Pas dan PN,” katanya lagi.
Penamaan calon PRK Parlimen Kemaman ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 November manakala hari pengundian awal pada 28 November, manakala tempoh berkempen dipersetujui selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding.
Pada 26 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias Hamid yang mewakili Pas selepas pihak pempetisyen iaitu Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU-15.
Pada 3 Oktober lalu, Pas memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu.
Pada PRU-15, Parlimen Kemaman menyaksikan pertembungan empat penjuru yang mana Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi.
Dua calon lain iaitu daripada Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi). – MalaysiaGazette