Rafizi Ramli

IPOH – Keadaan kesihatan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan semakin pulih selepas mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya pada minggu ini.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa mengesahkan Ahli Parlimen Pandan itu berada dalam keadaan stabil.

“Alhamdulillah, saya sudah dapat berita kelmarin beliau semakin sihat dan insya-Allah kita harap dalam masa terdekat beliau akan kembali melaksanakan tugasnya.

“Kita doakan yang baik-baik untuk beliau,” jawabnya ringkas pada sidang media selepas menghadiri Istiadat Konvokesyen Institut Latihan Kementerian Kesihatan (ILKKM) Zon Semenanjung di ILKKM Sultan Azlan Shah di sini, pada Sabtu.

Terdahulu, tular satu gambar tangkap layar memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal mengadakan lawatan kebajikan ke pusat perubatan untuk melawat Rafizi dikatakan mengalami sakit jantung.

Sejak minggu lepas Rafizi tidak kelihatan di majlis-majlis kerajaan dan juga mewakilkan Ketua Setiausaha kementeriannya untuk merasmikan majlis tertentu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.