SHAH ALAM – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mencabar Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer agar mengemukakan bukti bahawa beliau mencaci Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Muhammad Sanusi berkata, sekiranya benar beliau mencaci Anwar, Rayer seharusnya mengemukakan bukti dan tidak hanya menuduh beliau.
“Kalau (Ahli Parlimen) Jelutong (RSN Rayer) anak jantan, mai (datang) berani, hang jangan dok salah begitu. Apa yang saya caci, beritahu,” katanya dalam pidato empat Menteri Besar sempena Muktamar Tahunan Pas, malam tadi.
Hadir sama adalah Menteri Besar Kelantan, Datuk Nassuruddin Daud, Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
Muhammad Sanusi mengulas kenyataan Ahli Parlimen DAP itu di Dewan Rakyat yang mana Rayer mendakwa beliau banyak mencaci Anwar sebelum ini.
“Jangan dok menyalak di belakang tu, aku nak dengar hang tuduh aku caci PM. Caci tang (di) mana….apa yang aku caci,” katanya. – MalaysiaGazette