BELGIUM – Bekas pemain skuad kebangsaan Belgium, Eden Hazard menjelaskan sebab utama dia bersara daripada sukan nombor satu di dunia itu.
Dia berhenti bermain bola sepak sekiranya sudah lagi tidak berasa gembira ketika beraksi bukan kerana wang semata-mata.
“Saya tidak mahu beraksi di satu-satu kelab demi wang (merujuk kepada usaha untuk menyertai kelab Arab Saudi).
“Saya tidak lagi menikmati latihan, begitu juga ketika bermain bola sepak. Keputusan untuk bersara adalah sangat mudah untuk diambil oleh saya,” ujar Hazard menurut Goal.com.
Pada awal bulan ini, Hazard mengumumkan persaraan di usia 32 tahun kerana beliau merasakan dirinya sudah kehilangan nikmat ketika bermain bola sepak.
Sebelum itu, dia sering kali dibelenggu dengan kecederaan sehingga menyebabkan penurunan prestasi sebaik sahaja beliau menyertai kelab gergasi Sepanyol, Real Madrid pada Jun 2019.
Keadaan itu juga membuatkan tiada kelab Eropah yang mahukan khidmat Hazard meskipun dia telah menamatkan kontrak bersama Real Madrid setahun lebih awal.
Hazard mengharungi fasa yang kurang bernasib baik dilalui bersama Real walaupun menikmati karier cukup gemilang sewaktu menyarung jersi Chelsea.
Tujuh musim bersama kelab Liga Perdana Inggeris itu, Eden Hazard beraksi dengan cukup cemerlang untuk memenangi dua kejuaraan EPL (2014/15 dan 2016/17 ) dan dua Liga Europa (2012/13 dan 2018/19). – Agensi