Afnan Hamimi Taib Azamudden
Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berucap sempena Ceramah Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di IDCC, Shah Alam, Selangor. Foto MUHD NA’IM, 21 OKTOBER 2023.

SHAH ALAM – Dakwaan Pas boleh disamakan dengan UMNO ekoran tiada pertandingan bagi tiga jawatan tertingginya pada pemilihan tahun ini adalah tidak benar sama sekali.

Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, parti itu telah membuka pencalonan bagi semua jawatan peringkat pusat.

Namun, menurut beliau, Pas kawasan di seluruh negara hanya menamakan seorang calon iaitu Tan Sri Abdul Hadi Awang sebagai presiden dan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai timbalannya.

Ahli Parlimen Alor Setar itu memberitahu, bagi tiga jawatan Naib Presiden Pas, empat calon dinamakan namun salah seorang daripadanya iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah menarik diri.

“Bila masa Pas sama dengan UMNO? Kita buka untuk pertandingan, buka untuk pemilihan, tak pernah disekat, tak pernah bagi arahan.

“Tapi yang ada hanya satu pencalonan. Bila sudah ada satu pencalonan untuk satu jawatan, nak buat pertandingan buat apa lagi?

“Takkan dia nak lawan diri dia sendiri untuk berebut satu jawatan. Itu orang panggil gila,” katanya ketika menyampaikan ceramah sempena Muktamar Tahunan Pas Ke-69 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini malam ini.

Dalam pemilihan kali ini, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Datuk Idris Ahmad dan Datuk Mohd Amar Abdullah kekal sebagai Naib Presiden Pas setelah tiada pertandingan bagi jawatan tersebut.

Perhimpunan Agung UMNO 2022 pada 14 Januari lalu meluluskan usul tiada pertandingan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden sekali gus menyaksikan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Mohamad Hasan tidak dicabar untuk jawatan masing-masing.

Usul itu dibentangkan wakil UMNO Negeri Sembilan, Mohd Shukri Shamsudin untuk mengelak berlaku perpecahan dalam parti menjelang enam pilihan raya negeri. – MalaysiaGazette