Sebahagian daripada graduan yang diraikan dalam majlis konvokesyen UMT ke-21.

KUALA NERUS – Seramai 2,388 graduan UMT diraikan dengan penuh istiadat dan gilang gemilang dalam Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula 22 hingga 24 Oktober ini.

Mereka yang diraikan terdiri daripada 196 graduan pasca siswazah yang terdiri daripada 46 graduan PHD dan 150 graduan sarjana. Manakala seramai 2,192 graduan prasiswazah terdiri daripada 2,081 graduan sarjana muda dan selebihnya 111 graduan diploma.

Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT berkenan membuka sidang pertama Majlis Konvokesyen UMT di Dewan Sultan Mizan.

Baginda menzahirkan ucapan tahniah kepada semua graduan UMT dan penerima anugerah pada majlis berkenaan.

Sultanah Nur Zahirah berkenan menyampaikan Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Pemuliharaan dan Pengurusan Biodiversiti, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin (FSSM) kepada Prof. Emeritus Datuk Dr. Abdul Latiff bin Mohamad dan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan, Fakulti
Pengajian Maritim (FPM) kepada Datuk Seri (Dr.) Michael Tio.

Dalam majlis ini juga UMT turut memberi penganugerahan kepada penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Pingat Emas Canselor, Anugerah Pro Canselor, Anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Anugerah Naib Canselor (Terbaik Pusat
Pengajian). Manakala Anugerah Khas Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Anugerah Graduan Terbaik Diploma merupakan anugerah yang julung kali diperkenalkan dalam Majlis Konvokesyen UMT.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, universiti itu turut berbangga kerana telah menghasilkan 60 orang graduan pelajar sulung Asasi Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) yang telah diperkenalkan pada tahun
2018 di dalam pelbagai Program Sarjana Muda di UMT yang turut diraikan dalam konvokesyen ini.

Asasi STEM merupakan satu-satunya asasi di Malaysia yang memberi laluan kepada pelajar bukan sains tulen untuk meneruskan pembelajaran di dalam bidang STEM,” ujarnya.

Turut sama diraikan 65 graduan sulung pengajian iaitu Sarjana Muda Pengurusan Operasi Maritim, Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dan Sarjana Muda Komputer (Komputer Mudah Alih).

Menariknya pada tahun ini, UMT turut memperkenalkan beberapa Program Pengajian Baharu seperti Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian dan Sarjana Sains Sekitaran Marin Tropika. Program-program ini ditawarkan sesuai dengan keperluan semasa dan industri. – MalaysiaGazette