Anwar Ibrahim

KAHERAH – Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menasihatkan pasukan sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia, yang ingin menyalurkan bantuan kepada mangsa kekejaman rejim Israel di Gaza, supaya menyalurkan bantuan berasaskan keperluan.

Perdana Menteri berkata walaupun beliau mengakui niat NGO dan pasukan sukarelawan berkenaan baik, namun perbincangan dengan pihak berkaitan perlu dibuat sebelum menyalurkan bantuan, bagi memastikan bantuan itu benar-benar bermanfaat kepada mangsa.

“Jangan beli ikut selera kita, ini masalah badan-badan yang menganjurkan, niatnya baik, tetapi kadang-kadang yang dibeli yang orang tidak perlukan atau dia tentukan, tidak boleh, kita kena dengar sendiri apa yang orang Gaza nak.

“Ubat, ubat pun ada beberapa jenis ubat, ubat mesti label dengan betul…Oleh yang demikian, ada beberapa kaedah yang harus dipatuhi. Kemudian makanan begitu juga, mereka tiada upaya masak, jadi (perlukan) makanan siap, dalam tin, ada yang beri maklumat kalau mi segera tu, dia tak makan.

“Jadi dalam hal ini, jangan beli sehingga kita tahu (apa yang rakyat Gaza perlukan),” katanya kepada wartawan Malaysia pada sidang akhbar pada akhir lawatan kerja dua harinya ke Mesir hari ini. – BERNAMA