YANGON (Myanmar) – Hasil bedah siasat ke atas mayat rakyat Malaysia yang maut di pusat imigresen Tachileik di sini mendapati mangsa meninggal dunia akibat sesak nafas.
Perkara berkenaan dimaklumkan oleh pegawai perubatan hospital kepada keluarga mangsa dan pihak Kedutaan Besar Malaysia di Myanmar, kata abang kandung mangsa, Muhamad Hasmanizam Abdul Wahab hari ini.
Tambahnya, pihak hospital juga menghubungi keluarga dan menyerahkan sijil kematian arwah di Hospital Yangon pukul 2 petang waktu Myanmar hari ini.
“Proses bedah siasat selesai Sabtu dan keputusan keluar hari ini. Doktor memaklumkan hasil bedah siasat punca kematian akibat sesak nafas.
“Hospital minta tandatangan mengesahkan pemerimaan surat kematian dan diterangkan oleh pasukan doktor forensik,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Hasmanizam memaklumkan proses seterusnya adalah menyerahkan sijil kematian kepada pihak imigresen Myanmar bagi permohonan membawa pulang jenazah Muhammad Izzat ke tanah air.
“Alhamdulillah sijil kematian telah diberikan untuk melalui proses imigresen kastam dan penerbangan. Pihak kedutaan membantu menguruskan proses membawa balik dengan berurusan ejen tempatan di sini dan dijangka dapat dibawa balik ke Malaysia pada 26 Oktober ini,” katanya lagi.
Difahamkam proses memandi, mengkafankan dan solat jenazah akan disempurnakan di Hospital Yangon pada Rabu ini.
Sementara itu, pihak hospital ada menanyakan ahli keluarga sama ada arwah pernah menghidap sebarang penyakit sebelum ini.
Bagaimanapun Hasmanizam memaklumkan adik bongsunya tidak pernah mengalami gejala penyakit berkenaan dan sihat semasa hidupnya.
Bagaimanapun, keluarga mangsa bersyukur dengan segala kerjasama diberikan sehingga hasrat keluarga untuk membawa pulang adiknya kesampaian dengan bantuan semua pihak.
Proses pengurusan jenazah menelan belanja 250USD manakala kos penyimpanan mayat dalam peti beku berjumlah 60 dollar selain kos perjalanan dari Taichiliek ke Yangon berjumlah 4 juta Kyats. – MalaysiaGazette