Gambar hiasan.

ALOR SETAR – Seorang wanita maut manakala kakaknya cedera selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta yang dipandu remaja perempuan berusia 14 tahun dalam kejadian di Jalan Kuala Kedah dekat sini, petang semalam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supt Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian kira-kira 7 malam itu, Nur Shafiqah Abdullah, 32, yang menunggang motosikal maut di lokasi kejadian manakala kakaknya, Nooraliza Abdullah, 43, cedera di bahagian dada, pinggang dan kaki.

Beliau berkata, remaja berkenaan yang tidak bersekolah dan tidak bekerja itu hanya mengalami luka pada hidung.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila remaja itu hilang kawalan, menyebabkan kereta dipandunya terbabas ke pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh motosikal dinaiki dua beradik tersebut.

“Kejadian berlaku berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Kuala Kedah. Dua beradik yang menaiki motosikal dari arah Lampu Isyarat Taman Bersatu menghala ke Kuala Kedah manakala kereta dipandu remaja itu datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurut Syed Basri, kereta terbabit dipercayai milik rakan ibu remaja berkenaan dan pihaknya akanĀ  mengambil tindakan terhadap pemilik kenderaan kerana membenarkan remaja bawah umur memandu.

Beliau berkata, kereta itu turut ditahan untuk pemeriksaan lanjut dan saksi awam di tempat kejadian sedang dikesan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – Bernama