KUALA LUMPUR – Sebanyak 37 projek pembangunan rakyat telah dilaksanakan untuk tahun 2023 melalui Peruntukan Projek Mesra Rakyat di Parlimen Sungai Buloh setakat tahun ini.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Ramanan Ramakrishnan Parlimen memberitahu, daripada 37 projek tersebut, enam projek untuk menaik taraf kemudahan awam, lapan projek untuk menaik taraf dan pembangunan masjid dan surau.
Sebanyak empat projek menaik taraf untuk Rumah Ibadat Bukan Islam, 12 projek menaik taraf dan pembangunan untuk sekolah kebangsaan, lima projek menaik taraf dan pembangunan untuk sekolah menengah dan dua projek menaik taraf dan pembangunan untuk sekolah vernakular.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan Projek Mesra Rakyat (PMR) bagi semua Ahli Parlimen Kerajaan. RM2 juta yang diperuntukkan dapat digunakan bagi membangunkan kawasan Parlimen sendiri.
“Dengan rasa syukur, Parlimen Sungai Buloh telah berjaya melaksanakan perbelanjaan sebanyak RM2 juta yang telah diperuntukkan di bawah pemantauan Unit Penyelarasan Pembangunan (ICU) Negeri Selangor,” katanya ketika membahaskan ucapan Belanjawan 2024 di Parlimen hari ini.
Ramanan juga menyarankan isu fundamental dan paparan realiti kemiskinan di Malaysia memerlukan komuniti semua pemegang taruh (stakeholder) untuk merapatkan jurang perbezaan kemiskinan yang masih wujud.
Katanya peranan setiap insan supaya bersifat ihsan agar berkeupayaan dan berkemampuan meletakkan diri pada tempat orang lain.
“Kerjasama setiap pemegang taruh, sehinggalah ahli parlimen kerajaan dalam membahaskan persoalan melibatkan kelangsungan rakyat di kawasan masing-masing, mampu mengakhiri kitaran ganas kemiskinan.
“Semua ini tidak boleh berlaku sekelip mata tetapi keazaman dalam setiap insan untuk bersifat ihsan sebagai sebuah Masyarakat Malaysia Madani mampu melakar semula kisah negara kita,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ramanan berharap aspek pendidikan diberikan fokus bagi memartabatkan sebuah tamadun dan ianya menjadi usaha Parlimen beliau termasuklah memupuk minat pelajar dalam subjek STEM di kalangan pelajar sedang giat jalankan.
“Harapan Sungai Buloh melalui inisiatif sebegini supaya tidak mustahil satu hari nanti kita bakal melahirkan bakat baru yang mampu membantu negara menyaingi Tesla. Pada masa itu kelak, fokus bajet negara lebih kepada pelaburan modal insan.
“Justeru itu, menjadi tanggungjawab Kerajaan bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terjamin bersama-sama mereka yang mampu memainkan peranan lebih dalam membantu pautan lemah,” katanya. -MalaysiaGazette