Nordin dan Nor Aini sebak ketika naik ke pentas untuk menerima skrol ijazah arwah anaknya sempena majlis konvokesyen UMT ke-21 semalam.

KUALA NERUS – Tiada kata yang mampu diungkapkan oleh sepasang suami isteri yang hadir dari Gua Musang, Kelantan apabila menerima ijazah Allahyarham anaknya di Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Ke-21, di Dewan Sultan Mizan, di sini.

Allahyarham Mohamad Amir Nordin, 23, telah meninggal dunia akibat terlibat kemalangan jalan raya tahun lalu sewaktu dalam perjalanan menghantar pesanan pelanggan di bandar Gua Musang, Kelantan.

Beliau yang merupakan bekas penuntut di Fakulti Pengajian Ekonomi dan Pembangunan Sosial (FPEPS) di UMT bagi program Sarjana Muda Pengurusan (Pemasaran) merupakan pelajar tahun akhir dan bakal meraikan detik kegembiraan bersama-sama rakan lain
sempena Majlis Konvokesyen UMT ke-21 yang berlangsung selama tiga hari bermula 22 Oktober 2023.

Lebih memilukan kejadian tersebut dimaklumkan oleh abangnya yang juga bekerja sebagai ‘rider’ makanan sepertinya yang berada berdekatan dengan lokasi kejadian.

“Dia anak yang baik, tidak pernah melawan. Hanya ikut sahaja kehendak kami. Kalau kami tidak setuju, dia tidak akan buat.

“Sebelum kejadian, arwah memang tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara. Cuma sebelum dia tinggalkan rumah untuk menghantar pesanan makanan pelanggan pada hari kejadian, dia tidak menoleh ke belakang (arah rumah) seperti kebiasaan. Mungkin itu tanda
yang dia pergi buat selamanya,” kata Nordin Mohammad, 58, ketika ditemui selepas mewakili arwah anaknya menerima skrol ijazah.

Menurut ibunya, Nor Aini Awang, 55, berkata, arwah Amir sangat rajin melakukan kerja untuk mencari pendapataan sampingan.

“Keluarga kami boleh dikatakan orang susah. Suami hanya bekerja kilang papan. Dia anak ke lima dari enam adik beradik. Abang-abangnya terpaksa batalkan hasrat untuk menyambung pelajaran ke universiti kerana ingin membantu keluarga mencari duit dan juga
memberi laluan kepada adik-adik untuk meneruskan pengajian.

“Setiap kali cuti semester, arwah akan buat apa sahaja pekerjaan seperti bekerja sebagai pramusaji, jual pakaian lusuh (bundle), bantu gerai makanan dan sebagainya. Dia merupakan harapan keluarga kami kerana hanya dua orang sahaja anak-anak yang masuk
ke universiti.Tapi Allah lebih sayangkan dia,” kata Nor Aini sambil menambah dia dan suami menggagahkan diri untuk hadir ke konvokesyen ini sebagai kenangan terakhir Allahyarham, selain ia sesuatu yang amat menggembirakan keluarganya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast