ventilator
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan meminta orang ramai untuk elak dari membeli dan menggunakan lima produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Produk tersebut ialah Skinsister Babyskin Treatment Cream, Sahaana Fairness Cream, Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum, . Glowing Night Cream dan Glowing Herba Night Cream.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Menurutnya, merkuri dilarang di dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan.

Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

Produk yang mengandungi asid azelaik, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

Penggunaan produk yang mengandungi bahan-bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Penjual dan pengedar produk kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk kosmetik tersebut dengan serta-merta.

Jelasnya, penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000
untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya. – MalaysiaGazette