Lynas Malaysia Sdn. Bhd.

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) — Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) ┬ámengemas kini syarat operasi Lynas yang sedang berkuat kuasa, meliputi kebenaran mengimport bahan mentah yang mengandungi bahan radioaktif semulajadi (NORM) sehingga tamat tempoh sah lesen pada Mac 2026.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menerusi kenyataan hari ini berkata, pertimbangan yang dibuat pada Isnin (23 Okt) itu turut membenarkan aktiviti keretakan atau larut lesap (C&L) diteruskan tertakluk kepada syarat tertentu.

“Lynas hendaklah memastikan kandungan radioaktif dalam sisa penulenan air larut lesap (WLP) di bawah satu becquerel per gram (Bq/g) melalui program penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang diterajui oleh pakar tempatan.

“Keputusan LPTA dibuat berdasarkan dapatan kajian awal di peringkat makmal yang menunjukkan bahawa bahan radioaktif thorium boleh diekstrak keluar daripada residu WLP sehingga residu ini boleh dilepaskan daripada kawalan perundangan di bawah Akta 304,” katanya.

Beliau berkata dengan perkembangan itu, operasi berkaitan menepati kawalan perundangan, melindungi kepentingan rakyat dan seterusnya negara akan mampu menarik pelaburan bernilai tinggi dalam industri nadir bumi tempatan bagi menyokong industri pembuatan bahan termaju berteknologi tinggi. – BERNAMA