ALOR GAJAH – Seorang pemandu bas maut manakala tiga penumpang patah kaki selain tiga lagi cedera selepas bas dinaiki merempuh belakang sebuah treler di Kilometer 220.7 arah Utara Lebuhraya Utara Selatan di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira 1.30 pagi itu, Zainuddin Jaidun, 49 maut ditempat kejadian akibat cedera parah di anggota badan.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, tiga penumpang yang patah kaki adalah Chong Yi Min, 30, Cheong Chai Mui, 28 dan Saw Boon Teng, 32.
Tiga lagi yang cedera Foo Sek Xiong, 35, Yong Chun Hoe, 32, dan seorang warga Singapura, Arman Abd Rahman.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah treler sedang bergerak dari Melaka menuju ke Rawang di lorong pertama manakala bas berkenaan dari Singapura menuju Terminal Bas Seremban.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila bas terbabit telah melanggar belakang treler yang sedang dipandu di lorong pertama di jalan tiga lorong, lurus dan mendaki bukit itu.
“Akibatnya, pemandu yang tersepit meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, mayat di hantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat manakala penumpang yang cedera di hantar ke Hospital Rembau dan Hospital Seremban untuk rawatan lanjut.
“Ketika kejadian cuaca baik namun jalan gelap dan tidak berlampu. Pihak polis meminta saksi kejadian dan pemandu treler berkenaan tampil untuk membantu siasatan.
“Kedua-dua kenderaan telah ditahan di Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk di bawa ke Puspakom bagi pemeriksaan lanjut,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette