KUALA LUMPUR – Rakaman tular berhubung pendaftaran perkahwinan yang disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hari ini adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.

JPN memaklumkan, proses pendaftaran perkahwinan sivil tersebut tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.

Jelasnya, lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.

“Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan dari mana-mana pihak.

“Malah, sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan YB Menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun,” katanya.

Justeru JPN meminta orang ramai berhenti menyebarkan rakaman dengan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara.

Katanya, jika terdapat sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077 atau emel ke [email protected].

Terdahulu, tular di media sosial dan aplikasi Whatsapp mengenai tindakan Saifuddin mendaftarkan perkahwinan sivil pasangan bukan muslim di Pejabat JPN Putrajaya sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN yang diadakan pagi tadi.

Rakaman tersebut merupakan video di mana Saifuddin telah dijemput oleh JPN untuk merasmikan Majlis Sambutan Jubli Intan Jabatan pada hari ini.

Antara pengisian program adalah mendaftarkan perkahwinan sivil dua pasangan yang telah dipilih oleh JPN.

JPN merupakan agensi yang bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].

Dalam pada itu JPN berkata, berdasarkan akta berkenaan, menteri dalam negeri merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.

Selain menteri, ketua pengarah pendaftaran negara, timbalan ketua pengarah pendaftaran negara, pengarah bahagian perkahwinan dan perceraian, pengarah pndaftaran negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast