Tiga daripada lima graduan yang bermula daripada pelajar sastera yang bertukar aliran ke Sains setelah memilih Asasi STEM UMT bersama Pengarah Asasi STEM Prof Madya Dr Laili Che Rose.

KUALA NERUS – Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Kali Ke-21 tahun ini menyaksikan 57 graduan sulung dari program Asasi Sains, Teknologi, Engineering dan Matematik (STEM) kohort pertama berkongsi pentas yang sama meraikan kejayaan menggenggam segulung ijazah.

Istimewanya konvokesyen ini turut menampilkan lima daripada 57 graduan tersebut bukan dari aliran sains tulen tetapi berjaya mengharungi cabaran kehidupan di kampus sebagai graduan aliran sains seterusnya diraikan di pentas berprestij hari ini.

Noorsaadah binti Abd Samad, 23, anak kelahiran Johor ini berkata, keputusannya untuk menukar bidang daripada aliran sastera semasa di sekolah menengah ke bidang STEM didorong oleh minat dan dorongan keluarga.

Berbekalkan minat yang mendalam serta sokongan padu daripada keluarga dan pensyarah, Noorsaadah bulatkan tekad meneruskan pengajian diperingkat Sarjana Muda Sains (Matematik Kewangan).

“Pada mulanya saya ragu-ragu dengan kemampuan diri, namun selepas mendapat nasihat daripada Pengarah Asasi STEM, Profesor Madya Dr Laili Che Rose serta restu daripada mak dan ayah, saya tawakkal memohon pengajian bidang tersebut.

“Alhamdulillah pilihan saya tepat apabila saya berjaya mendapat Purata Gred Kumulatif 3.87 di peringkat ijazah dan 3.63 ketika di Asasi STEM”, ujarnya.

Menceritakan pengalamannya semasa pengajian di UMT, Noorsaadah berkata, memandangkan dia bukan dari aliran sains tulen, maka dia perlu berusaha lebih gigih daripada pelajar lain yang sememangnya mempunyai asas sains.

Katanya dia perlu memberi tumpuan sebaiknya di dalam kelas dan mengulangkaji dengan lebih tekun serta bersyukur kerana didampingi oleh rakan-rakan yang banyak membantu.

Malah sentiasa belajar berkumpulan untuk lebih faham setiap mata pelajaran yang diajar.

“Alhamdulillah kejayaan menggenggam segulung ijazah pada hari ini bukti kesungguhan dan pengorbanan dalam mengejar ilmu pengetahuan dalam bidang yang berbeza iaitu bukan sains kepada aliran sains.

“Kejayaan hari ini diiringi airmata, penat lelah, jatuh bangun serta doa mak ayah dan restu pensyarah akhirnya terbalas dan akan jadi permulaan sebuah perjalanan yang masih panjang di masa hadapan,” ujarnya.

Rakan seperjuangannya, Alya Syakirah Tajul Ariffin, 23, yang menerima ijazah Sarjana Muda Sains (Geosains Marin) dengan Kepujian, Fakulti Sains dan Sekitaran Marin berjaya meraih CGPA 3.75 berkata kejayaan ini merupakan permulaan kepada kejayaan yang lebih besar lagi di masa hadapan.

Alya Syakirah yang kini berkhidmat sebagai ahli Geologi di Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia bersyukur telah membuat pilihan yang tepat untuk masa depannya.

Mereka turut berkongsi kejayaan bersama tiga lagi rakan sealiran Nur Sabrina Mohamad Ikram, Syakir Hakimi Zainulabidin dan Muhammad Fathi `Izzat Muhamat.

Kejayaan ini wajar dicontohi dan menjadi inspirasi kepada pelajar-pelajar lain untuk terus berusaha melakar kejayaan pada masa hadapan. Terbukti tiada yang mustahil tetapi perlu nekad merebut peluang yang ada.

Syabas dan tahniah kepada para graduan UMT yang diraikan. Semoga kejayaan yang diraih hari ini menjadi inspirasi kepada semua serta menjadi asas teguh untuk meneruskan perjalanan hidup yang lebih mencabar di luar sana.

Untuk rekod, Pusat Asasi STEM UMT ialah Pusat Asasi STEM pertama diasaskan di Malaysia.

Diluluskan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia pada Mei 2017, program Foundation in STEM juga telah memperoleh akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan memulakan semester pertama mereka pada Jun 2018 dengan 68 pelajar sebagai kumpulan pertama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast