NEW YORK – Regim Israel jelas telah melakukan jenayah perang terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres berkata, Israel telah mencabuli undang-undang antarabangsa dalam perang antara Israel dan pejuang Palestin, Hamas.

Bercakap di hadapan 15 anggota Majlis Keselamatan PBB, Guterres menggesa agar orang awam dilindungi dan beliau memberi amaran bahawa pertempuran itu berisiko merebak dengan meluas di rantau tersebut.

“Adalah penting untuk disedari bahawa serangan Hamas tidak berlaku secara vakum. Rakyat Palestin telah mengalami 56 tahun pendudukan yang menyeksakan.

“Tetapi rintihan rakyat Palestin tidak boleh membenarkan serangan mengerikan oleh Hamas. Dan serangan yang mengerikan itu tidak boleh membenarkan hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin,” tegas beliau.

Israel telah mengebom Semenanjung Gaza yang dikepung tanpa henti sejak 7 Oktober, selepas Hamas melancarkan serangan mengejut ke atas Israel selatan, membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang menurut pihak berkuasa Israel.

Israel telah memutuskan bekalan air, makanan, bahan api dan elektrik kepada 2.3 juta penduduk di kawasan itu, satu tindakan yang digelar PBB sebagai satu bentuk hukuman kolektif.

Serangan Israel ke atas wilayah itu juga membunuh sekurang-kurangnya 5,791 orang.

Lebih satu juta orang telah kehilangan tempat tinggal selepas Israel mengarahkan mereka mengosongkan rumah masing-masing dan akibat serangan udara berterusan di seluruh wilayah itu.

Guterres mengkritik Israel dengan berkata, “melindungi orang awam tidak bermakna mengarahkan lebih daripada satu juta orang berpindah ke selatan, di mana tidak ada tempat tinggal, tiada makanan, tiada air, tiada ubat dan bahan api, dan kemudian terus mengebom kawasan selatan”.

Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebelum ini meminta bantuan kecemasan dibenarkan masuk ke Gaza, mengatakan lebih 20 kali penghantaran semasa diperlukan -Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast