BATU PAHAT – Seorang pelajar Tingkatan Lima maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar sebuah lori yang sedang membuat pusingan U di Kilometer (KM) 13.5 Jalan Kluang-Batu Pahat pada pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah menerusi kenyataan media berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.20 pagi ketika mangsa, Shahrunizam Mohd Shamsul, 17, dikatakan dalam perjalanan ke sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading.
“Pelajar tersebut dipercayai hilang kawalan lalu terlanggar bahagian kiri lori tangki minyak diesel hingga mengakibatkan letupan kecil.
“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami cedera parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Pemandu lori yang berusia 33 tahun dan kelindannya, 24, tidak mengalami sebarang kecederaan telah ditahan dan direman untuk bantu siasatan.
Ujian saringan air kencing mereka juga didapati negatif. – MalaysiaGazette