Rafizi Ramli

PUTRAJAYA – Menteri Ekonomi Rafizi Ramli selamat menjalani pemasangan stent jantung minggu lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Rafizi kini sedang berehat selepas menjalani prosedur itu.

Perkara itu, kata Saifuddin dimaklumkan oleh sumber terdekat Rafizi.

“Dia selamat (jalani prosedur stent jantung) dan sedang berehat di PPUM sekarang berehat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Jubli Intan 75 Tahun Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini hari ini.

Pada 21 Okt lepas, Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa memaklumkan Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR kini dalam keadaan stabil.

Saifuddin  menyifatkan Rafizi  seorang yang kuat bekerja dan mementingkan kesempurnaan dalam setiap kerjanya.

“Mengenali Rafizi, dia memang degil kalau doktor kata dia kena rehat dua minggu, barangkali seminggu dia datang (masuk kementerian), dia seorang yang sangat kuat bekerja.

“Kalau saya berpeluang bercakap dengan dia, saya mahu nasihatkan beliau supaya pastikan betul-betul tahap kesihatan pulih sepenuhnya kerana beliau memikul tanggungjawab yang amat berat.

“Kementerian Ekonomi berat dari segi melengkapkan data mengenai pelaksanaan penyasaran subsidi jadi beliau memegang tugas yang sangat besar.

“Saya tahu dia seorang yang perfectionist dan akan berusaha melengkapkan sampai pada masanya bukan buat kerja secara semberono ataupun ala kadar,” tambahnya yang mendoakan Rafizi kembali pulih. – MalaysiaGazette