Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Mana-mana pihak yang menghantar surat rasmi yang tidak menggunakan Bahasa Kebangsaan tidak akan dilayan dan akan dipulangkan semula, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri memberitahu, tindakan itu bagi memperkasakan bahasa Melayu dan pembinaan bangsa di negara ini.

Namun, jelasnya, bahasa Inggeris tidak akan dipinggirkan kerana terdapat keperluan penggunaan bahasa itu dalam soal hubungan perdagangan antarabangsa.

“Saya ingin peringatkan hal ini dalam kalangan syarikat tempatan dan universiti tempatan supaya arahannya siapa sahaja menulis selain Bahasa Kebangsaan surat itu akan dipulangkan. Ini tidak akan menjadikan kita sempit.

“Saya tidak meremehkan (bahasa Inggeris) tetapi perlu mengakar di bumi berhubung pemerkasaan budaya dari sudut bahasa, sastera sesuatu yang integral dalam pembinaan bangsa.

“Jangan cuba remehkan, arahan jelas bahawa tidak akan melayani sebarang surat yang disampaikan oleh rakyat, syarikat tempatan dalam bahasa selain bahasa kebangsaan,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melakukan gimik pelancaran pada Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad membaca kebangsaan di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2023.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival Bahasa Kebangsaan dan Dekad Membaca Kebangsaan 2023 di Universiti Multimedia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri mengakui kadangkala wujud kekeliruan penggunaan bahasa dalam soal hubungan perdagangan antarabangsa yang lebih menggunakan bahasa Inggeris.

Tetapi, sikap masyarakat yang dilihat terpesong apabila ada beberapa agensi awam dan swasta seringkali cuba meninggalkan asas Perlembagaan dalam menggunakan Bahasa Kebangsaan dalam perhubungan dengan jabatan kerajaan. – MalaysiaGazette

erdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra bersama pelajar ketika hadir pada Majlis Perasmian Karnival Dekad Bahasa Kebangsaan dan Dekad membaca kebangsaan di Universiti Multimedia (MMU), Cyberjaya. Foto MOHD ADZLAN, 25 OKTOBER 2023.