Gambar hiasan.

KUALA TERENGGANU – Polis Terengganu menahan seorang wanita warga Rohingya dan dua anak perempuannya dipercayai terlibat kes pecah rumah di sekitar daerah Kemaman.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, wanita berusia 33 tahun dan dua anak perempuannya berumur 13 serta 14 tahun itu ditahan 7.05 malam Isnin lepas, ketika cuba melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Perodua Kelisa, di Kampung Binjai, Kemaman.

Beliau berkata, polis turut merampas pelbagai barangan dipercayai hasil pecah rumah termasuk perhiasan emas, beg, wang tunai, jam tangan dan dua bilah senjata tajam dalam bonet kereta itu.

“Ujian air kencing mendapati suspek utama wanita yang berusia 33 tahun positif dadah jenis Methamphetamine manakala dua anaknya yang di bawah umur, negatif.

“Siasatan awal juga mendapati suspek utama memiliki tiga rekod jenayah lampau dan dalam senarai orang dikehendaki polis berkait kes pecah rumah di Johor,” katanya pada sidang media di sini.

Mazli berkata, modus operandi mereka ialah memecah masuk pada waktu siang ketika pemilik rumah keluar bekerja, selain menggunakan nombor plat kenderaan palsu dan menukar nombor itu setiap kali melakukan jenayah bagi mengelak dijejak.

“Suspek juga menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian. Suspek bawah umur akan mengumpan mangsa untuk keluar berbual-bual manakala rakan jenayahnya akan masuk ke rumah untuk menggeledah serta mencuri barangan berharga,” katanya.

Menurut Mazli pihaknya percaya ketiga-tiga mereka adalah anggota sebuah sindiket yang aktif dalam kegiatan pecah rumah dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan ketua serta anggota sindiket yang lain.

Setakat ini katanya, anak-beranak itu mengaku bertanggungjawab terhadap lima kes pecah rumah di sekitar Kemaman dan Johor.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan atas kesalahan pecah rumah yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh didenda atau sebat bagi kesalahan kedua atau seterusnya,” katanya yang juga sedang menyiasat sama ada suspek memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR)

Berhubung kes pengibaran bendera Israel oleh seorang peniaga di Bukit Payong di Marang minggu lepas, Mazli berkata pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan yang akan diserahkan ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963; Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana melakukan perbuatan dengan niat mengganggu keamanan serta Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.

“Siasatan juga mendapati suspek memiliki lima rekod lampau bersabit dadah dan jenayah kekerasan,” katanya. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast