BALAKONG – Waris bekas jurugambar Kumpulan Utusan (M) Berhad, Allahyarhamah Noor Azlina Jaafar yang meninggal dunia pada 17 Oktober lalu menerima pencen penakat berjumlah RM2,567.50 setiap bulan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Suami Allahyarhamah Noor Azlina, Muhammad Basir Abu Bakar, 44, dan tiga anaknya iaitu Nur Iman Zahra, 13, Nur Iman Damia, 11, dan Muhammad Daniel Iman, 8, layak menerima dua faedah daripada pihak Perkeso.
Selain Pencen Penakat yang diterima setiap bulan bermula 1 November ini, waris Noor Azlina turut menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sehingga RM2,000 yang dibayar secara sekali gus.
Timbalan Ketua Eksekutif (Operasi) Perkeso, John Riba Marin berkata, pengiraan faedah Pencen Penakat dibuat berdasarkan semakan terhadap rekod caruman Perkeso arwah yang berkhidmat selama 18 tahun dan lapan bulan di tiga syarikat berbeza sejak 1996.
Menurutnya, walaupun sudah tiga tahun arwah diberhentikan kerja susulan penutupan operasi Kumpulan Utusan, warisnya masih layak menerima pencen penakat berjumlah RM2,567.50 setiap bulan, bermula 1 November.
“Bayaran pencen ini akan diagihkan mengikut syer kepada orang tanggungan iaitu suami arwah untuk sepanjang hayatnya dan tiga lagi anak sehingga berusia 21 tahun atau selama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama.
“Semoga dengan faedah daripada Perkeso ini dapat menampung kelangsungan hidup suami dan anak arwah,” katanya pada sesi kunjungan Ziarah Prihatin Perkeso di kediaman allahyarham di Taman Setia 2, Balakong di sini, hari ini.
Berikutan penamatan operasi syarikat Kumpulan Utusan (M) Berhad pada 2019, Noor Azlina menerima faedah Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) Perkeso, menerusi peruntukan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) bagi tempoh selama dua bulan, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5,135.
Bagaimanapun, arwah mengambil keputusan menarik diri daripada meneruskan program pencarian kerjaya yang direncana Perkeso menerusi Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) pada bulan ketiga kerana berhasrat untuk memberikan tumpuan kepada perniagaan sendiri ketika itu.
Sementara itu, Muhammad Basir yang juga bekas wartawan Kumpulan Utusan berkata, dia berterima kasih kepada pihak Perkeso kerana faedah diterima dapat membantu meringankan perbelanjaan persekolahan tiga anak.
“Selepas syarikat ditutup, saya berniaga bersama isteri antaranya menjual pewangi kenderaan, menjadi ejen kek dan membuka gerai burger. Kini saya mencari pendapatan sebagai ejen sewa kereta.
“Saya juga menghidap masalah jantung (berkaitan injap) yang membuatkan saya jadi penat,” katanya.
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Noor Azlina meninggal di Hospital Serdang akibat jangkitan kuman pada hati.
Muhammad Basir dan Noor Azlina merupakan antara lebih 800 bekas pekerja Kumpulan Utusan yang diberhentikan selepas syarikat itu diisytihar bankrap pada 2019.
Bagi menampung kehidupan mereka sekeluarga, pasangan berkenaan terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan bagi menampung kehidupan mereka dan keluarga. – MalaysiaGazette
















