Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof hadir pada Pembentangan dan perbahasan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 18 SEPTEMBER 2023.

KUALA LUMPUR – Bagi meningkatkan pengeluaran pekebun kecil getah di negara ini, Malaysia sedang merencanakan kajian bagi menghasilkan klon pokok getah secara genomik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof memberitahu Dewan Rakyat kajian itu bagi memastikan pokok getah tersebut mampu berdepan pelbagai ancaman penyakit antaranya penyakit akar putih.

“R&D ini salah satu cabarannya adalah penyakit kepada pokok getah terutamanya penyakit akar putih. Kita telah buat kajian supaya kita dapat hasilkan klon secara genomik dimana pokok itu boleh tahan daripada penyakit.

“Kita sedang melihat amalan dan prosidur torehan kepada produktiviti ladang hutan getah akan lebih baik,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Fadillah berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai pelan jangka panjang bagi membantu pekebun kecil getah dalam sesi Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, kementerian turut melaksanakan kajian pembangunan single nucleotide polymorphism markers yang tertumpu kepada teknologi genom bagi mengenal pasti klon getah berkualiti tinggi.

“Seterusnya, dalam bidang mekanisasi dan automasi – sama ada dari segi penanaman benih menggunakan mesin dan menggunakan torehan secara automasi – ini juga kita sedang lihat untuk dipertingkatkan.

“Tumpuannya adalah untuk meningkatkan R&D supaya dari segi benih, klon, penghasilan lebih baik, daya tahan penyakit dan sebagainya bagi meningkatkan produktiviti serta hasil pekebun kecil (getah),” katanya. – MalaysiaGazette