Seorang peserta kanak kanak melaungkan hancur zionis pada Himpunan Anak Muda tolak Israel ketika di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto WAN NABIL NASIR, 25 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu menghantar mesej tegas kepada dunia supaya menghentikn kekejaman yang dilakukan zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanahair (Pejuag), Rafique Rashid berkata, Malaysia tidak boleh melakukan bantahan dalam jumlah himpunan yang kecil kerana ia hanya akan ditertawakan oleh barat.

“Kita tidak boleh terus melakukan bantahan seperti ini (jumlah himpunan yang kecil)”.

“Mereka (Israel dan Washington) hanya akan mentertawakan (perhimpunan) ini,” katanya merujuk kepada jumlah peserta terlibat dalam himpunan Aman Pro Palestin anjuran gabungan NGO di Kedutaan Amerika Syarikat, malam ini.

Katanya, di London, lebih 300,000 orang telah hadir untuk membantah kekejaman yang dilakukan oleh Zionis Israel terhadap rakyat Palestin.

Katanya, Amerika Syarikat adalah sekutu setia kepada Israel.

Israel mengisytiharkan perang ke atas Hamas berikutan serangan mengejut kumpulan itu di beberapa lokasi di Israel pada 7 Oktober lepaas.

Berikutan pengeboman berterusan ke atas Gaza oleh Israel, angka kematian yang dijangka meningkat, telah melepasi 5,000 orang dengan hampir separuh daripadanya kanak-kanak.

Lebih 15,000 lagi mengalami kecederaan.

Terdahulu, kira-kira 500 peserta yang terdiri dalam kalangan orang muda menyertai perhimpunan aman tersebut

Perhimpunan yang bermula pukul 9 malam itu diadakan bertujuan membangkitkan semangat solidariti dalam kalangan anak muda terhadap nasib yang sedang dihadapi oleh rakyat Palestin.

Perhimpunan yang dipantau pihak berkuasa itu tamat pukul 11.20 malam. – MalaysiaGazette