Tiga maut dalam insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Polis memburu pemandu kereta Proton Wira yang dipercayai menjadi punca kemalangan di Kilometer 38 Jalan Kuala Lumpur-Ipoh, dekat Rawang, mengakibatkan tiga individu meninggal dunia, hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim berkata, dalan insiden jam 10.55 pagi itu melibatkan tiga buah kenderaan iaitu Perodua Axia, Toyota Avanza dan Proton Wira.

Katanya, siasatan mendapati kemalangan berlaku ketika pemandu Perodua Axia dalam perjalanan dari Serendah menuju ke Batang Kali.

“Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Proton Wira yang datang dari arah bertentangan disyaki cuba memotong kenderaan di hadapannya.

“Pemandu Perodua Axia cuba mengelak, namun melanggar bahagian kanan kereta Proton Wira yang telah mengakibatkan Perodua Axia berpusing dan kemudiannya dilanggar dari arah belakang oleh Toyota Avanza,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tiga maut dalam insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan pada pagi tadi. Ihsan Bomba Selangor

Menurut Ahmad Faizal, akibat insiden itu pemandu Perodua Axia berusia 62 tahun bersama penumpangnya dan pemandu Toyota Avanza bermur 68 tahun maut di tempat kejadian akibat cedera parah.

Tambah beliau, penumpang Toyota Avanza mengalami kecederaan pada bahagian mata dan dikejarkan ke Hospital Selayang manakala tiga mangsa yang maut dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk proses bedah siasat.

“Berikutan kejadian itu, polis telah mempergiatkan usaha dan sedang mengesan pemandu Proton Wira yang masih belum dikenal pasti yang dipercayai telah melarikan diri sejurus selepas kemalangan itu,” ujarnya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menyalurkannya kepada polis. – MalaysiaGazette