Jenazah Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab selamat diterbangkan dari Myanmar ke Malaysia pagi ini.

YANGON (Myanmar) – Jenazah Allahyarham Muhammad Izzat Abdul Wahab selamat diterbangkan dari Myanmar ke Malaysia pagi ini.

Proses pengurusan kargo membawa jenazah diuruskan oleh pihak kastam dan imigiresen di Myanmar dan dibantu oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Yangon pagi tadi, kata abangnya Muhamad Hasmanizam Abdul Wahab.

“Allahyarham selamat selamat diterbangkan dari Myanmar ke Malaysia jam 11.25 pagi ini. Jenazah selamat dimandikan, dikafankan , solat jenazah hari semalam (Rabu) sebelum dibawa pulang ke tanah air pada pagi ini.

“Jenazah Muhammad Izzat kemudian dibalut dengan plastik sebelum proses seal jenazah dilakukan oleh pihak kastam Myanmar sebelum dihantar ke kargo,” katanya.

Terdahulu proses memandikan jenazah disempurnakan di rumah mayat Hospital Yangon dan diuruskan oleh komuniti Islam di situ serta disembahyangkan di Rumah Mayat Hospital Yangon.

Hadir sama Kuasa Besar Sementara Kedutaan Besar Malaysia Yangon, Johan Ariff Abdul Razak dan Atase Pertahanan, Kolonel Abdul Razak Harun.

Arwah Muhammad Izzat akan diterbangkan menaiki pesawat MH741 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pukul 3.50 petang ini.

Jenazah seterusnya akan dibawa menaiki van jenazah dan diiringi oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Sejurus tiba nanti solat jenazah kedua akan dilakukan di Kuantan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Perkuburan Peramu hari ini.

Muhammad Izzat disahkan maut dalam tahanan polis di Taichileik, Myanmar selepas berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia oleh wakil sebuah pertubuhan kemanusian pada 14 Oktober lalu.

Dikenali Pakdik, allahyarham merupakan anak bongsu daripada lapan beradik meninggalkan seorang balu, Nurul Diyana Mohd Shukri, 27 tahun dan dua anak lelaki berusia enam dan empat tahun.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail telah memperuntukkan RM25,000 menerusi kerajaan negeri kepada keluarga mangsa bagi membantu bagi kos membawa pulang jenazah pada 18 Oktober lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast