STOCKHOM – Aktivis cuaca Greta Thunberg yang dikecam oleh penyokong Israel kerana memegang sepanduk ‘Berdiri bersama Palestin’ sekali lagi menyatakan pendirian mengenai kekejaman Zionis terhadap penduduk Gaza.
Terbaharu hari ini di platform X, beliau berkongsi gambar memegang sepanduk Justice for Palestine (Keadilan untuk Palestin) bersama sekumpulan anak muda dari pertubuhan Fridays for future Sweden (FFF_Sweden).
Mereka turut memegang sepanduk Free Palestine (Bebaskan Palestin), This is a crisis (Ini adalah krisis), Stop the genocide (Hentikan pembunuhan beramai-ramai) dan Climate justice no oppression (Keadilan iklim tiada penindasan).
Dalam kenyataannya, FFF_Sweden mengutuk pembersihan etnik Palestin yang berterusan oleh Israel yang ditakrifkan sebagai negara apartheid oleh Amnesty International dan Human Rights Watch.
Kumpulan itu berkata, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga memberi amaran bahawa terdapat pelanggaran hak asasi manusia yang berterusan dan risiko pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Kami berdiri dalam solidariti dengan Palestin dan menentang pendudukan, pengepungan dan penjajahan. Seperti yang dikatakan oleh Setiausaha Agung PBB: ‘Adalah penting untuk menyedari bahawa serangan oleh Hamas tidak berlaku dalam ruang hampa’.
“Kami mengutuk semua jenayah perang dan keganasan terhadap orang awam yang dilakukan oleh Israel dan Hamas. Perlindungan orang awam mesti menjadi keutamaan utama dan rakyat Palestin mesti mempunyai keadilan dan hidup tanpa penindasan,” katanya.
Kumpulan yang disertai Greta itu mendesak supaya tiga perkara dilaksanakan segera iaitu gencatan senjata, perlindungan orang awam dan bantuan kemanusiaan.
FFF_Sweden juga akan melakukan demonstrasi esok di seluruh Sweden bagi mendesak tuntutan tersebut dilaksanakan.
Media sebelum ini melaprokan Greta dihukum oleh Israel kerana menunjukkan sikap bersoladiriti dengan rakyat Palestin.
Baca: Israel balas dendam terhadap Greta Thunberg kerana sokong Palestin
Kementerian Pendidikan Israel menghapuskan sebarang rujukan kepada aktivis alam sekitar selepas dia memegang sepanduk bertulis “Berdiri bersama Gaza”.
Greta juga mendapat kecaman daripada beratus-ratus aktivis iklim Israel dan penyokong Zionis selepas dia menyiarkan di platform X bersoladiriti dengan Palestin dan Gaza.
Beliau sebelum ini menjadi contoh kepada remaja di seluruh dunia kerana membuktikan generasi muda boleh memainkan peranan besar dalam isu pemuliharaan alam sekitar.
Ini selepas beliau lantang menegur sikap pemimpin dunia menangani isu perubahan iklim dunia ketika Sidang Kemuncak Tindakan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2020.-Agensi