MELAKA – Prihatin terhadap mangsa perang negara bergolak termasuk Palestin, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) memperuntukkan biasiswa RM10 juta untuk membantu mereka melanjutkan pengajian di universiti itu.
Naib Canselor UTeM, Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata, tawaran di bawah Biasiswa Kesidang itu diberikan kepada pelajar peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) untuk tempoh selama lima tahun.
Menurutnya, ia digunakan untuk pembiayaan yuran pengajian bermula pada sesi pengambilan pelajar baharu 2023/2024 pada awal bulan ini.
“UTeM sangat prihatin dengan keadaan negara bergolak ini yang manaa kami ada sediakan Biasiswa Kesidang dan buat masa sekarang kita fokus pada pelajar Palestin.
“Buat masa sekarang, kita ada dua permohonan dari Palestin yang akan kita tanggung yuran pengajian mereka dan berharap pelajar dapat teruskan pengajian mendapat perkhidmatan terbaik dari kami,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Majlis Konvokesyen ke-19 UTeM di Durian Tunggal, Melaka di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Massila berkata, di bawah biasiswa itu,akan mendapat pembiayaan yuran antara RM35,000 hingga RM45,000 bergantung kepada peringkat pengajian mereka. – MalaysiaGazette