GEORGE TOWN – Seorang wanita terkejut apabila mendapati tanah milik keluarganya di Jalan Besar Bukit Cherakah, Subang, Selangor bernilai RM250,000 berpindah milik kepada individu lain tanpa pengetahuan.
Wanita berusia 45 tahun yang ingin dikenali sebagai Endra mendakwa dia hanya menyedari kehilangan hak milik tanah selepas seorang lelaki yang mendakwa pemilik baharu datang menjumpainya.
Jelas wanita itu, dia bingung bagaimana pemilik berkenaan mengetahui lokasi rumahnya selain turut memberi amaran agar tidak menuntut hak ke atas tanah itu lagi.
“Saya tidak pernah pergi ke pejabat tanah untuk tukar nama pada geran mahu pun menjual tanah keluarga yang dimilik sejak 25 tahun lalu.
“Tiba-tiba ada lelaki datang dan dakwa dia sudah beli tanah itu daripada seorang individu yang saya sendiri tak kenal. Malah dia turut menunjukkan geran tanah bagi membuktikan dakwaannya itu.
“Susulan itu, saya membuat laporan polis pada Februari lalu memandangkan geran asal masih bersama saya selain saya juga masih membayar cukai setiap tahun,” katanya hari ini.
Tambah Endra, bimbang sesuatu buruk berlaku selain tidak mempunyai dana bagi melantik peguam saya meminta bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan Masyrakat Malaysia (PKMM).
Sementara itu, Naib Presiden PKMM, Ivan Lee berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan pemilik baharu itu diperdaya sindiket penjualan tanah.
Bagaimanapun, jelas Ivan Lee, pihaknya akan merujuk perkara berkenaan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) agar tindakan awal dapat diambil.
“Kita mendesak perkara ini diselesaikan secepat mungkin selain meminta pihak berwajib melakukan siasatan bagaimana tanah milik individu sah ditukar milik tanpa pengetahuan.
“PKMM juga akan merujuk perkara ini kepada pihak guaman untuk mendapatkan nasihat bagi pihak mangsa,”katanya. – MalaysiaGazette