Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada Himpunan 10K Solidariti Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 28 OKTOBER 2023.

KUALA LUMPUR – Kerajaan jangan sesekali gentar dengan sebarang ugutan atau gertakan  pihak asing dalan soal Palestin di Gaza.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin percaya rakyat akan berdiri teguh dalam isu solidariti kepada Palestin dan menentang kekejaman zionis Israel.

Setiausaha Agung Bersatu dan Perikatan Nasional itu juga berkata, setiap lapisan masyarakat perlu bersama dalam menentang kezaliman Israel terhadap Palestin.

“Pada masa yang sama kerajaan juga harus selari dalam mengutarakan pendirian berkaitan kekejaman rejim Zionis.

“Saya minta kepada kerajaan jangan sesekali takut dengan mana-mana ugutan berkaitan isu Palestin ini.

“Rakyat selari dan sentiasa bersama dalam perjuangan Palestin, kita bersama menentang sebarang kezaliman yang berlaku,” katanya semasa berucap lebih 5,000 peserta dalam Himpunan 10,000 Solidariti Palestin di Jalan Tun Razak berdekatan kedutaan Amerika Syarikat di sini petang hari ini.

Ahli Parlimen Larut itu juga membidas pendirian sebenar Amerika Syarikat yang dilihat tidak konsisten selain bersikap berat sebelah dalam isu Palestin.

“Amerika Syarikat memperlihatkan kepada kita wajah sebenar mereka yang bersifat hipokrit, selain berlaku tidak adil bila mana melibatkan Palestin yang dirobek setiap hari secara bertalu-talu.

“Ketidakadilan dan kezaliman ini yang kita tentang sehabisnya dan kita tidak akan gentar sama sekali terhadap sebarang provokasi dari luar berkaitan isu Palestin ini,” katanya.

Himpunan yang awalnya berkumpul di sekitar perkarangan Masjid KLCC di sini kemudiannya berarak beramai-ramai dengan mengibarkan bendera Palestin dan plakat mengecam kekejaman Israel bermula jam 1.30 tengahari tadi menuju ke lokasi seterusnya di sekitar Jalan Tun Razak sebelum berkumpul di kawasan Kedutaan AS.

Antara pemimpin yang hadir ialah Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang, Setiausaha Agung Pas Takiyuddin Hassan, Timbalan Presiden Bersatu Faizal Azumu serta Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Mahathir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast