Lagu Terus Bersinar turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30-episod berjudul Surat Dari Tuhan yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3.

KUALA LUMPUR –  Nama penyanyi terkenal Hafiz Suip tidak perlu diperkenalkan lagi.

Namun penyanyi bersuara lunak Hafiz Suip kembali menjadi sebutan warga maya dalam media sosial baru-baru ini.

Menerusi entri dimuat naik dalam Instagram (IG), Hafiz berkongsi beberapa keping foto yang memaparkan dirinya namun apa yang yang menjadi perhatian netizen adalah penampilan pelantun lagu Kisah Cinta Kita itu sangat berbeza dari sebelum ini.

Manakan tidak, imej terbaharu Hafiz itu mempamerkannya kini berambut berwarna hijau. Sungguh berbeza daripada kebiasaan.

“Definisi bapa kau hijau,” seloroh Hafiz di ruangan kapsyen.

Bakat besar yang dimiliki membawa kerjaya seninya di puncak tertinggi. Pelbagai pengiktirafan sudah diterima sekali gus meletakkan namanya di liga tersendiri.

Apa pun semuanya itu demi single terbaharu, Hafiz, 33, atau nama sebenar Mohamad Hafiz Mohamad Suip muncul dengan single berjudul Terus Bersinar terbitan syarikat rakaman Nova Music.

Menariknya, lagu ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito serta lirik oleh Datuk Arisz Ab Rahman JP, Mas Dewangga dan Jova Devito itu adalah kerjasama pertama Hafiz bersama mereka.

Menurutnya, lagu yang bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

“Sepanjang kerjaya, saya sudah merakamkan lagu yang menceritakan mengenai lumrah kehidupan yang semua orang lalui. Contohnya, lirik lagu Matahari mengisahkan hubungan
kesusahan adik-beradik.

“Lagu Awan Nano pula menceritakan pengorbanan seorang ayah
manakala lagu Kisah Cinta Kita adalah terjemahan kasih sayang antara suami dan isteri.

“Jadi, untuk lagu Terus Bersinar ini, mesej yang ingin disampaikan pula adalah mengenai anak. Boleh dikatakan, dalam karier saya setiap lagu ada jalan ceritanya yang tersendiri dan semua lagu itu juga ada kisah kehidupan yang mempunyai mesej,” katanya.

Lagu Terus Bersinar yang bergenre balada itu membawa mesej untuk anak.

Hafiz sebelum ini popular dengan lagu Awan Nano, Noktah Cinta, Ku Akui, Bahagiamu Deritaku, Kisah Cinta Kita dan banyak lagi malah deretan lagu yang sudah dihasilkan masih menjadi siulan hingga kini.

Daripada hubungan bersama bapa, adik beradik, suami isteri hingga kekasih, mesej yang diketengahkan menerusi lagu yang dihasilkan cukup menyentuh hati.

Bukan bersifat peribadi tapi Hafiz cuba menyelami perasaan semua terhadap insan yang dicintai.

Berkongsi lanjut mengenai lagu itu, Hafiz berkata dia terus jatuh cinta dengan lagu itu ketika kali pertama mendengar melodiya.

“Lagu ini masih lagi bergenrekan balada. Cuma ada sedikit sentuhan alat muzik tradisional Sarawak iaitu Sape, itu pun pada penghujung lagu.

“Masa pemilihan lagu ini, saya dengar lagu ni memang terus tertarik dengan melodi dan lirik. Itu yang membuatkan saya terus bersetuju untuk rakamkan sebagai single terbaharu saya.

“Kalau baca setiap bait lirik lagu ini, memang sesuai ditafsir berkaitan anak. Saya percaya lagu ini nanti insya-Allah mendapat tempat di hati pendengar. Begitu juga dengan video muzik lagu ini yang mana memang menceritakan mengenai ibu bapa yang menjaga dan membesarkan anak daripada kecil hingga besar. Pendek kata, anak itu ditatang bagai minyak penuh,” katanya.

Mengenai kerjasama dengan Mas Dewangga, Hafiz bertuah kerana dapat merakamkan lagu ciptaan komposer yang kian meningkat naik dengan sentuhan lagu balada yang mampu menarik perhatian pencinta muzik tanahair.

“Mas Dewangga seorang komposer yang bagus di mana bila saya dengar karya dihasilkan semuanya segar dan memang trend masa kini. Lagu balada yang dihasilkan diberi sentuhan yang membuatkan lagu itu bertambah sedap didengar.

“Macam sekarang, peminat suka dengan lagu-lagu balada dari Indonesia. Jadi, apa saya perasan, karya Mas Dewangga pun ada sentuhan bunyi itu. Kebetulan saya pun suka,”
katanya.

Lagu Terus Bersinar ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito

Dalam masa sama, Hafiz berharap lagu Terus Bersinar bakal menjadi sebuah karya pilihan dan diminati oleh semua seperti kebanyakan lagu-lagunya sebelum ini.

“Insya-Allah, apa-apa pun kita berserah kepada Allah. Namun, tidak mahu terlalu berharap. Pun begitu, saya sebagai penyanyi yang menyanyikan lagu ini, apa boleh dikatakan adalah saya dapat rasa mesej yang ingin disampaikan.

“Saya sendiri menangis. Jadi, harapnya peminat dan pendengar juga dapat merasainya, insya-Allah,” katanya.

Menariknya, lagu Terus Bersinar turut dipilih menjadi lagu tema drama bersiri 30-episod terbitan Mache All Star United berjudul Surat Dari Tuhan yang akan bersiaran di slot Samarinda, TV3 mulai esok.

Single Terus Bersinar Hafiz Suip dipasarkan pada hari yang sama dengan tarikh mula siaran drama bersiri tersebut dan boleh mula distrim di semua perkhidmatan penstriman muzik.

Video muzik rasmi single tersebut juga boleh mula ditontondi saluran YouTube Nova Music Videos. – MalaysiaGazette